SPRM sahkan Rosmah ditahan, akan didakwa esok
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan menahan isteri mantan Perdana Menteri Najib Razak, Rosmah Mansor, berhubung siasatan pengubahan wang haram setelah SPRM mendapat izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara.
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan menahan isteri mantan Perdana Menteri Najib Razak, Rosmah Mansor, berhubung siasatan pengubahan wang haram setelah SPRM mendapat izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara.
SPRM dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini menyatakan, penahanan itu dibuat pada 3.20 petang di ibu pejabat SPRM di Putrajaya hari ini (3 Okt).
“Susuli (penahanan) itu, Rosmah akan menghadapi beberapa pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
“Rosmah akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 4 Oktober 2018, jam 8.00 pagi untuk pertuduhan tersebut,” menurut SPRM.
Cik Rosmah tiba di ibu pejabat SPRM pada jam 10.45 pagi untuk diambil keterangan buat kali ketiga.
Media tempatan semalam (2 Okt) melaporkan Cik Rosmah perlu hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya pagi ini bagi membantu siasatan SPRM.
Beliau kali pertama hadir ke SPRM pada 5 Jun bagi memberi keterangan berhubung siasatan kes SRC International Sdn Bhd.
SRC International adalah anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sehingga ia diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2012.
Pada 26 September lalu, Cik Rosmah memberi keterangan kepada SPRM selama hampir 13 jam.
Akhbar sebelum ini melaporkan Cik Rosmah dijangka berdepan lebih 20 pertuduhan jenayah, kebanyakannya membabitkan pengubahan wang haram.
Pada 20 September lalu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Azam Baki, berkata agensi itu tidak menolak kemungkinan Cik Rosmah akan didakwa dalam masa terdekat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.