SPRM sahkan mantan PM Muhyiddin akan didakwa pada 10 Mac

Gambar: AP/FL Wong
KUALA LUMPUR: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki, mengesahkan bahawa mantan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin akan didakwa pada Jumaat (10 Mac).
Bercakap kepada Bernama, Encik Azam berkata ketika ini Ahli Parlimen Pagoh berkenaan masih lagi sedang diambil keterangan, selepas Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu tiba di Ibu Pejabat SPRM pada 11.15 pagi tadi.
Ia dipercayai bagi memberi keterangan dipercayai berkaitan kes salah guna dana kerajaan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).
Encik Azam turut dipetik The Malaysian Insight (TMI) sebagai berkata pada Khamis (9 Mac) bahawa Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu tidak dihadapkan ke mahkamah hari ini.
"Dia kemungkinan besar akan didakwa esok, bukan hari ini," kata Encik Azam seperti dipetik TMI dan The Star.
Secara berasingan, Encik Azam memberitahu The Star bahawa terpulang kepada penyiasat untuk memutuskan sama ada Encik Muhyiddin akan direman semalaman di ibu pejabat SPRM.
Semalam, Encik Muhyiddin memaklumkan beliau diminta hadir ke ibu pejabat SPRM, namun menafikan dakwaan beliau ditahan oleh pihak berkuasa selepas sebuah portal berita Malaysia melaporkan beliau diberkas ketika berada di padang golf.
SPRM sebelum ini telah membekukan akaun parti Bersatu, dan beberapa individu termasuk Ketua Penerangan parti itu Wan Saiful Wan Jan dan Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut Adam Radlan Adam Muhammad, didakwa di mahkamah berkaitan projek Jana Wibawa.
Bagaimanapun, sehari kemudian SPRM mengesahkan beliau antara suspek yang disiasat berhubung kes berkenaan dan siasatan ke atasnya masih diteruskan.
Jana Wibawa dilaksanakan ketika pandemik COVID-19, dan ia kesinambungan kepada Program Pembangunan Kontraktor Binaan Bumiputera Berwibawa yang dimulakan pada tahun 1993.
Pelaksanaannya diluluskan Jemaah Menteri pada 13 November 2020 ketika kerajaan ditadbir PN diterajui Muhyiddin.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.