Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

SPRM sahkan ambil keterangan mantan PM Ismail Sabri bagi siasatan perbelanjaan publisiti kerajaan bernilai RM700 juta

Anggaran Waktu Membaca:
SPRM sahkan ambil keterangan mantan PM Ismail Sabri bagi siasatan perbelanjaan publisiti kerajaan bernilai RM700 juta

Mantan Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob. (Gambar: AP)

Diterbitkan : 11 Jan 2024 10:14AM Dikemas Kini : 11 Jan 2024 10:15AM
SHAH ALAM: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merekod keterangan mantan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob pada Rabu (10 Jan) bagi siasatan berhubung isu membabitkan penggunaan wang sebanyak RM700 juta (S$200 juta).

Difahamkan, keterangan Ahli Parlimen Bera itu direkod di ibu negara dan perkara itu disahkan SPRM dalam satu kenyataan.

"SPRM telah merakamkan keterangan Ismail Sabri bagi membantu siasatan berhubung penggunaan dana RM700 juta (S$200 juta) yang dibelanjakan untuk tujuan publisiti dan promosi semasa pentadbiran kerajaan terdahulu," katanya pada Rabu, lapor agensi berita Sinar Harian.

Pada Isnin, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki mengesahkan akan memanggil seorang mantan Perdana Menteri untuk memberi keterangan berhubung kes terbabit.
Turut akan dipanggil ialah pegawai di pejabat mantan Perdana Menteri berkenaan yang terbabit dengan perbelanjaan dana.

Sebelum ini, SPRM telah ke Kementerian Kewangan (MOF) dan Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi proses siasatan dan mengumpulkan maklumat serta mendapatkan dokumen berkaitan.

Siasatan dibuat berdasarkan maklumat awal yang dinyatakan Perdana Menteri,Anwar Ibrahim ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran pada November tahun lalu, dipetik daripada Sinar Harian.

Encik Prabakaran ketika itu meminta Perdana Menteri menyatakan jumlah keseluruhan dibelanjakan kerajaan untuk kerja promosi dan publisiti dalam menghebahkan pencapaian kerajaan menerusi semua platform media massa termasuk media cetak, media digital serta televisyen sepanjang tahun sejak 2020 hingga kini.

Media sebelum ini melaporkan kerajaan Persekutuan membelanjakan hingga RM700 juta (S$200 juta) untuk pengiklanan, promosi dan publisiti bagi menghebahkan agenda kerajaan bagi tempoh 2020 hingga 2022.
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan