Skip to main content

Dunia

SPRM nafi dakwaan wujud 'mafia korporat', sifatkan cubaan cemar kredibiliti siasatan

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan dakwaan mengaitkan kewujudan "Mafia Korporat" dengan suruhanjaya itu serta menyifatkan ia sebagai cubaan mencemarkan kredibiliti siasatan dan tindakan penguatkuasaan terhadap pihak tertentu dalam sektor korporat.
Anggaran Waktu Membaca:
SPRM nafi dakwaan wujud 'mafia korporat', sifatkan cubaan cemar kredibiliti siasatan
SPRM memaklumkan tuduhan itu tidak berasas dan dipercayai berpunca daripada sebuah blog online tanpa identiti pemilik, penulis atau akauntabiliti yang jelas. (Gambar fail: Bernama)
New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 25 Feb 2026 08:57AM
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan dakwaan mengaitkan kewujudan "Mafia Korporat" dengan suruhanjaya itu serta menyifatkan ia sebagai cubaan mencemarkan kredibiliti siasatan dan tindakan penguatkuasaan terhadap pihak tertentu dalam sektor korporat.

SPRM dalam kenyataan pada Selasa (24 Feb) memaklumkan tuduhan itu tidak berasas dan dipercayai berpunca daripada sebuah blog online tanpa identiti pemilik, penulis atau akauntabiliti yang jelas.

"SPRM menolak sepenuhnya dakwaan-dakwaan tanpa asas yang dibangkitkan... Suruhanjaya memandang serius penyebaran tuduhan palsu sedemikian khususnya apabila ia boleh menjejaskan keyakinan awam terhadap tindakan penguatkuasaan yang dijalankan secara sah," menurut kenyataan itu.

Menurut SPRM, isu itu adalah dakwaan lama yang dikitar semula dan sengaja dimainkan bagi mencemarkan imej serta reputasi suruhanjaya berkenaan.

SPRM memaklumkan semua siasatan dilaksanakan berasaskan bukti selaras dengan undang-undang dan tertakluk kepada proses perundangan yang ditetapkan.

Kenyataan itu memaklumkan perkara berkenaan kini disiasat oleh Polis Diraja Malaysia dan memberi jaminan kerjasama penuh bagi memastikan fakta serta kebenaran ditentukan mengikut lunas undang-undang.

"Penyebaran tuduhan tanpa asas daripada sumber yang tidak dapat disahkan berisiko mengelirukan masyarakat serta menjejaskan keyakinan terhadap institusi penguatkuasaan... tindakan sedemikian boleh dianggap sebagai penyebaran maklumat palsu dan fitnah," katanya.

Sehubungan itu, SPRM menggesa mana-mana individu yang mempunyai maklumat atau bukti sahih berkaitan rasuah atau salah laku supaya membuat laporan rasmi kepada pihak berkuasa berkaitan.

"Penyaluran maklumat melalui saluran sah membolehkan siasatan dijalankan secara teratur dan adil mengikut proses undang-undang, bukannya melalui perbicaraan media atau penerbitan tanpa bukti kukuh.

"SPRM kekal komited melaksanakan mandat membanteras rasuah tanpa rasa takut atau pilih kasih, dan tidak akan terhalang oleh sebarang cubaan mencemarkan integriti atau mengganggu peranan dan fungsi suruhanjaya," menurut kenyataan itu.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita