Skip to main content

Dunia

SPRM mula siasat kerugian pelaburan Khazanah dan PNB dalam FashionValet

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan siasatan berhubung kerugian pelaburan berjumlah RM43.9 juta (S$13.5 juta) yang dialami Khazanah Nasional Berhad (Khazanah), Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam FashionValet.
 

Anggaran Waktu Membaca:
SPRM mula siasat kerugian pelaburan Khazanah dan PNB dalam FashionValet

Kedai Fashionvalet di Pavillion, Kuala Lumpur. (Gambar: Instagram Fashionvalet)

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan siasatan berhubung kerugian pelaburan berjumlah RM43.9 juta (S$13.5 juta) yang dialami Khazanah Nasional Berhad (Khazanah), Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam FashionValet.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki dalam satu wawancara bersama Astro Awani menegaskan bahawa siasatan itu penting memandangkan ia melibatkan isu dana dan kepentingan awam.

"Jadi siasatan perlu (dilakukan) sama ada terdapat unsur-unsur jenayah atau tidak... atau hal-hal lain berkaitan isu tatakelola," jelasnya ketika dihubungi Astro Awani pada lewat Jumaat (1 Nov).

Dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Isnin lalu (28 Okt), Kementerian Kewangan Malaysia memaklumkan Khazanah dan PNB memperoleh RM3.1 juta (S$940,800) hasil penjualan saham dalam platform e-dagang fesyen, FashionValet kepada syarikat Bumiputera, NXBT Partners pada 2023.

Jumlah itu diperoleh berbanding pelaburan RM47 juta (S$14.2 juta) yang dibuat Khazanah dan PNB pada 2018, masing-masing RM27 (S$8.1 juta) dan RM20 juta (S$6 juta) untuk pegangan minoriti dalam FashionValet.

Pada Khamis (31 Okt), Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mengarahkan Khazanah, PNB dan FashionValet memberikan penjelasan berhubung kerugian pelaburan berjumlah RM43.9 juta yang dialami dua syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) itu dalam FashionValet.

Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) menjelaskan tindakan menjual kepentingan dalam FashionValet, setelah pelaburan awal sebanyak RM27 juta (S$8.17 juta) pada tahun 2018 adalah bagi memacu syarikat e-dagang fesyen tempatan itu.

Khazanah menambah, penjualan itu bagi mengalihkan pemilikan kepada pihak baharu yang berupaya memacu syarikat ke arah trajektori pertumbuhan sejajar dengan tempoh pegangan pelaburan yang telah mencapai matlamat.

Sementara itu, Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam kenyataan pada Jumaat (1 Nov) turut menegaskan, pelaburan dibuat menggunakan dana proprietari PNB dan bukan dana amanah saham di bawah Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) yang dilanggan oleh orang awam.

“Walaupun kesal dengan kerugian yang dialami sebanyak RM18.7 juta (S$5.6 juta) selepas menerima hasil jualan sebanyak RM1.3 juta (S$393,417), tetapi ini harus dilihat dalam konteks aset pelaburan bernilai RM337 bilion (S$102 bilion) yang diuruskan oleh PNB dan RM16.4 bilion (S$4.9 bilion) dalam pendapatan pelaburan yang dijana selepas mengambil kira kerugian pada TK23,” jelas kenyataan itu.

Selain itu, usahawan fesyen, Vivy Yusof dan suaminya Fadzaruddin Shah Anuar memohon maaf dan akan melepaskan jawatan mereka dalam platform e-dagang FashionValet Sdn Bhd.

Menerusi kenyataan bersama pada Jumaat, keputusan itu dibuat berikutan isu terkini yang melibatkan penjualan saham PNB dan Khazanah dalam syarikat berkenaan.

Tindakan itu dilakukan bagi mengelakkan konflik ketika ini menjejaskan syarikat yang sedang dalam proses pemulihan.
Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita