Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

SPRM kenal pasti 90 individu dipercayai terima 'sedekah' PRU15, rakam keterangan

Anggaran Waktu Membaca:
SPRM kenal pasti 90 individu dipercayai terima 'sedekah' PRU15, rakam keterangan

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki. (Gambar fail: Bernama)

SHAH ALAM: Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) mengenal pasti kira-kira 90 individu yang didakwa menerima wang tunai di Terengganu untuk mengundi sebuah parti politik di pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Menurut sumber daripada agensi itu, ia bagi membantu siasatan berhubung video tular yang menunjukkan orang ramai dikatakan menunggu di hadapan sebuah bangunan untuk menerima bayaran daripada PAS bagi tujuan mengundi.

Sumber yang rapat dengan siasatan itu berkata setakat ini, SPRM sudah berjaya menjejaki hampir separuh daripada 90 individu tersebut dan mereka sudah dipanggil untuk memberi keterangan.

"Lelaki dalam video yang memberikan wang tunai kepada pengundi itu juga telah dipanggil untuk disoal siasat."

“Sekarang SPRM sedang berusaha untuk memanggil seberapa ramai saksi bagi membantu siasatan. Secara keseluruhan, terdapat kira-kira 90 penerima dikenal pasti (telah menerima wang tunai)."

"Ada sedikit kesukaran untuk mencari mereka kerana tidak semua mereka menetap di Terengganu. Ramai yang terlibat adalah pengundi luar," kata sumber itu, lapor agensi berita Malaysiakini.
Beliau berkata siasatan dijangka dapat diselesaikan dalam masa kira-kira dua minggu.

Tambahnya, SPRM berjaya mengenal pasti penerima wang tunai berdasarkan dokumen yang dirampas semasa siasatan.

Ia termasuk dokumen yang perlu ditandatangani oleh penerima apabila mereka ingin mengutip wang berkenaan, selain perlu mengangkat sumpah.

Setelah berakhirnya PRU15 pada November lalu, timbul dakwaan di media sosial bahawa PAS memberi wang kepada pengundi.

Pengarah pilihan raya PAS Muhammad Sanusi Md Nor bagaimanapun menafikan perkara itu.

Menurut Malaysiakini, Encik Sanusi berkata dakwaan itu merupakan helah daripada musuh politik untuk memburuk-burukkan PAS dan parti Islam itu tidak mempunyai dana untuk membayar pengundi.

Pada Januari lalu, Presiden PAS Abdul Hadi Awang mempertahankan tindakan mengagihkan wang tunai kepada pengundi.

Beliau dilaporkan memberitahu media di Terengganu bahawa peraturan sedia ada hanya melarang calon yang bertanding dan wakil mereka daripada memberi wang tunai kepada pengundi.

Bagaimanapun, Encik Abdul Hadi berkata undang-undang tidak menghalang orang ramai daripada "bersedekah", lapor Malaysiakini.
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan