Skip to main content

Dunia

SPRM gagalkan cubaan gelapkan RM2.4 juta dalam kes rasuah Tentera Darat Malaysia

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya menggagalkan percubaan melarikan wang tunai berjumlah RM2.4 juta (S$759,094.08) yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes rasuah membabitkan pemerolehan projek Tentera Darat Malaysia (TDM).
Anggaran Waktu Membaca:
SPRM gagalkan cubaan gelapkan RM2.4 juta dalam kes rasuah Tentera Darat Malaysia
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Azam Baki. (Gambar: Bernama)
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya menggagalkan percubaan melarikan wang tunai berjumlah RM2.4 juta (S$759,094.08) yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes rasuah membabitkan pemerolehan projek Tentera Darat Malaysia (TDM).

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata wang berkenaan cuba dipindahkan dari sebuah rumah ke rumah lain oleh seorang individu awam yang mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.

"Semalam, pegawai kita dapat maklumat dan pagi tadi saya dimaklumkan bahawa kita menjumpai lebih kurang RM2.4 juta wang yang cuba dilarikan oleh individu itu... kita telah mendapat wang milik seorang suspek kes ini dalam bentuk tunai," katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur pada Rabu (7 Jan).

Beliau turut memaklumkan bahawa seorang bekas pegawai kanan Tentera Darat dan isterinya hadir bagi membantu siasatan tentang pemerolehan TDM pada petang Rabu di Putrajaya.

"Keterangan pegawai kanan berkenaan diambil petang ini di Putrajaya selepas beliau dibenarkan keluar dari hospital semalam setelah menerima rawatan akibat tekanan darah tinggi," kata beliau.

Pada Selasa (6 Jan), SPRM menahan reman 17 pengarah syarikat yang disyaki terlibat dalam rangkaian kartel tender pemerolehan TDM.

Kenyataan SPRM di media sosial TikTok memaklumkan perintah reman selama lima hari hingga 10 Januari itu dikeluarkan pada Selasa oleh Majistret Ezrene Zakariah yang membenarkan permohonan agensi antirasuah berkenaan.

Kesemua suspek yang terdiri daripada sembilan lelaki dan lapan wanita berusia dalam lingkungan 20 hingga 60-an tahun ditahan ketika hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada Isnin (5 Jan).

Pada 29 Disember lalu, SPRM menyita enam akaun bank dipercayai milik seorang pegawai kanan berkenaan dan ahli keluarganya bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan pemerolehan projek TDM.

Sebelum itu, pegawai SPRM hadir ke Kementerian Pertahanan pada 23 Disember dan tumpuan terarah kepada projek-projek yang dilaksanakan melalui kaedah pemerolehan secara tender terbuka serta pemerolehan di bawah Pusat Tanggungjawab Tentera Darat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita