Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

SPRM dijangka akan panggil semula Ismail Sabri bantu siasatan

Anggaran Waktu Membaca:
SPRM dijangka akan panggil semula Ismail Sabri bantu siasatan
Diterbitkan : 01 Mar 2025 06:55PM Dikemas Kini : 01 Mar 2025 06:57PM
SHAH ALAM: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil semula mantan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob bagi membantu siasatan berhubung beberapa kes yang dikaitkan dengan rasuah serta pengubahan wang haram.

Menurut sumber, SPRM telah mengambil keterangan Ahli Parlimen Bera itu pada minggu lalu.

“Ia hasil maklumat yang diterima dan risikan terbaharu, SPRM telah memanggil serta menemu duga beliau (Ismail Sabri) selama kira-kira lima jam bagi membantu siasatan.

“SPRM tidak menolak kemungkinan akan memanggil semula beliau, namun ia bergantung kepada masa dan keadaan, terutama tahap kesihatannya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu (1 Mac).

Sebelum itu, empat bekas pegawai termasuk dua individu bergelar Datuk yang mempunyai kaitan dengan Encik Ismail Sabri telah direman oleh SPRM pada 21 Februari lalu kerana disyaki terbabit dalam rasuah.

Selain itu, seorang pegawai eksekutif sebuah yayasan dan seorang wanita yang juga pembantu kepada seorang pegawai khas terbabit turut ditahan oleh agensi antirasuah tersebut.

Penahanan itu dilakukan SPRM mengikut Seksyen 16(a) Akta SPRM dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Berikutan itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki, dalam kenyataan pada Khamis lalu, dilaporkan berkata bahawa lapan lagi saksi akan dipanggil dalam masa terdekat bagi membantu siasatan berhubung penahanan empat pegawai mantan Perdana Menteri ke-9 itu.

Difahamkan, beberapa kes sedang disiasat oleh SPRM ketika ini, antaranya membabitkan perbelanjaan dana kerajaan berjumlah RM700 juta bagi tujuan promosi dan publisiti.
Sumber : Agensi berita/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan