Skip to main content

Dunia

SPRM buka siasatan perjanjian RM1.1 bilion kerajaan dengan syarikat asing

Anggaran Waktu Membaca:
 SPRM buka siasatan perjanjian RM1.1 bilion kerajaan dengan syarikat asing

Gambar: Facebook/Bernama

Diterbitkan : 16 Feb 2026 08:15PM Dikemas Kini : 16 Feb 2026 08:18PM
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan berhubung perjanjian antara Kerajaan Malaysia dengan sebuah syarikat asing yang dianggarkan bernilai RM1.1 bilion (S$355 juta).

Menurut sumber, antara tindakan susulan yang sedang diambil ialah memanggil beberapa saksi, termasuk Ketua Setiausaha kementerian yang terlibat, bagi mendapatkan penjelasan berhubung pelaksanaan perjanjian berkenaan.

Difahamkan, siasatan itu dijalankan menyusuli aduan daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mendakwa perjanjian tersebut dimeterai secara tergesa-gesa dan bersifat berat sebelah sehingga berpotensi memberi kesan kepada kepentingan kerajaan.

“SPRM juga telah memperoleh beberapa dokumen berkaitan perjanjian ini daripada Kementerian Ekonomi pada 13 Februari 2026,” menurutnya, lapor Astro Awani.

Tambah sumber itu, kes berkenaan turut melibatkan isu ketirisan dana kerajaan dengan peruntukan keseluruhan dianggarkan mencecah RM1.1 bilion.

Berdasarkan maklumat yang diperoleh, cadangan perjanjian tersebut didakwa tidak mendapat persetujuan daripada Kementerian Kewangan (MOF) serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

“Namun begitu, perjanjian ini tetap dimeterai secara tergesa-gesa. Perkara ini akan diperincikan dan disahkan menerusi keterangan saksi-saksi utama yang terlibat,” tambahnya, seperti dinukil Astro Awani.

Pada masa yang sama, beberapa individu turut didakwa dilantik ke jawatan tinggi dalam syarikat terbabit selepas meninggalkan kementerian berkaitan.

Menurut sumber lagi, perkembangan itu menimbulkan persoalan berhubung konflik kepentingan dan SPRM berpandangan wajar diberikan perhatian serius oleh pihak berkuasa.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Ahmad Khusairi Yahaya, ketika dihubungi mengesahkan siasatan berkenaan sedang dijalankan namun enggan mengulas lanjut.
Sumber : Bernama/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita