SPRM beku akaun RM1.1 juta milik pengasas FashionValet
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membekukan beberapa akaun bank persendirian dan syarikat milik pengasas platform e-dagang FashionValet, Vivy Yusof dan suaminya, Fadzaruddin Shah Anuar bernilai kira-kira RM1.1 juta (S$332,530).
Kedai Fashionvalet di Pavillion, Kuala Lumpur. (Gambar: Instagram Fashionvalet)
This audio is generated by an AI tool.
Pembekuan tersebut susulan daripada siasatan yang dijalankan SPRM terhadap pasangan suami isteri berkenaan berhubung kerugian pelaburan dana Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) serta Permodalan Nasional Bhd (PNB) berjumlah RM43.9 juta (S$13.5 juta).
Menurut sumber, pada Isnin (4 Nov), SPRM secara serentak telah menyerbu FashionValet Sdn Bhd (FashionValet), Kementerian Kewangan (MOF), Khazanah dan PNB serta memperoleh dokumen berkaitan kewangan bagi membantu siasatan.
“Sejak siasatan dijalankan, SPRM menerusi 'Op Favish', kami telah membekukan kira-kira 11 akaun persendirian dan enam akaun syarikat di bawah seliaan pasangan suami isteri ini bernilai kira-kira RM1.1 juta bagi membantu siasatan.
“Selain itu, SPRM juga telah merakam beberapa keterangan individu penting yang terdiri daripada pegawai kanan Khazanah, PNB, FashionValet, akauntan, penilai syarikat dan introducer,” kata sumber berkenaan.
Dalam kenyataan berasingan, suruhanjaya itu turut memaklumkan pihaknya menggeledah kediaman pasangan suami isteri itu yang terletak di Mont Kiara, Kuala Lumpur pada Rabu (6 Nov).
Menurut sumber, pasangan tersebut hadir ke SPRM pada kira-kira pukul 1.00 tengah hari untuk menyambung memberi keterangan yang kemudiannya dibawa ke kediaman mereka pada pukul 5.30 petang bagi tujuan pembongkaran.
Menurut sumber, serbuan ke atas kediaman itu dilakukan oleh 12 pegawai SPRM dan turut disertai oleh peguam pasangan tersebut.
“Penggeledahan berakhir sekitar pukul 8.00 malam dan antara barangan yang disita termasuklah 11 beg tangan dan seutas jam tangan berjenama mewah dengan anggaran keseluruhan kira-kira RM200,000 (S$60,626)," katanya.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan pembekuan akaun dan pembongkaran tersebut dan berkata kes disiasat mengiku Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Katanya pasangan tersebut akan hadir lagi ke Ibu Pejabat SPRM pada Khamis pukul 10.00 pagi untuk sambung memberi keterangan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.