Skip to main content

Dunia

SPR umum 87% pengundi awal sudah tunai tanggungjawab PRN Johor

Anggaran Waktu Membaca:

JOHOR BAHRU: Sebanyak 87 peratus atau 18,625 individu sudah melaksanakan tanggungjawab mereka bagi pengundian awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang berlangsung pada Selasa (8 Mac).

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya, Ikmalrudin Ishak berkata pengundi awal itu terdiri daripada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pasukan Gerakan Am (PGA), serta pasangan masing-masing.

"SPR merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan pasukan kerana sudah menjalankan tanggungjawab dengan amat baik," kata beliau dalam kenyataan di Johor Bahru pada Selasa (8 Mac).

Beliau juga menzahirkan penghargaan kepada pihak PDRM, ATM, Kementerian Kesihatan, Majlis Keselamatan Negara, pihak berkuasa tempatan, media dan semua pihak yang terlibat atas segala kerjasama dan sokongan yang diberikan kepada SPR.

Pengundian PRN Johor akan diadakan Sabtu ini (12 Mac).

Dalam kenyataan berasingan, jurucakap Media PRN Johor Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri, Supt Ibrahim Mat Som berkata seramai 9,775 orang atau 84.3 peratus daripada 11,576 warga PDRM yang berdaftar sebagai pengundi awal sudah keluar mengundi di seluruh negeri ini.

Katanya lagi, antara sebab peratusan mengundi dalam kalangan anggota polis tidak mencapai 100 peratus disebabkan oleh pengundi yang dikuarantin akibat dijangkiti COVID-19.

“(Juga kerana) bertukar tempat tugas ke kontinjen lain, bersara, meninggal dunia dan lain-lain sebab yang tidak dapat dielakkan,” katanya sambil menambah tahap keselamatan semasa proses pengundian berjalan dengan aman, lancar serta terkawal.

Sumber : Bernama/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita