SPR punyai kuasa untuk ubah, tangguh tarikh mengundi jika berlaku banjir

(Gambar: BERNAMA)
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai kuasa untuk menangguhkan proses pengundian dan mengubah ke tarikh baru untuk pengundian di sesuatu kawasan sekiranya berlaku insiden atau bencana tidak diingini.
Mantan Timbalan Pengerusi SPR, Wan Ahmad Wan Omar, memberikan contoh sekiranya sesuatu Pusat Mengundi itu dinaiki air banjir yang menyulitkan proses pengundian, maka ia boleh ditangguhkan ke suatu tarikh baru.
"Di bawah Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981, ia beri kuasa kepada SPR untuk mengubah tarikh pengundian dan menangguh proses pengundian.
"Kalau ditakdirkan malam sebelum hari mengundi, Pusat Mengundi itu dinaiki air, jadi ia mustahil untuk pengundi keluar dan jejaskan prosesnya. Maka SPR ada kuasa untuk tetapkan tarikh lain bagi Pusat Mengundi itu sahaja," katanya dalam program Menjelang Malaysia Memilih pada Khamis (20 Okt).
Jelas beliau selanjutnya, penangguhan juga dibolehkan sekiranya sesebuah Pusat Mengundi itu dinaiki air pada hari pengundian, maka SPR mempunyai kuasa untuk menangguhkannya, lapor Astro AWANI.
Penangguhan pengundian pula hanya dilakukan di satu-satu kawasan yang terkesan saja dan tidak menjejaskan seluruh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen.
Semestinya ia juga melibatkan tatacara yang perlu diikuti bagi memastikan proses penangguhan berjalan lancar.
"Bila penangguhan dibuat ada tatacara rapi yg perlu dibuat di hadapan wakil calon seperti cara menutup peti undi, disaksikan oleh wakil setiap calon dan ditempatkan di tempat yang selamat.
"Apabila tiba hari pengundian semula, maka proses sama akan dilakukan di hadapan wakil-wakil calon, ia bagi memastikan proses berjalan lancar dan dakwaan penipuan dan sebagainya," jelasnya.
Tambah Wan Ahmad, kuasa untuk menentukan penangguhan itu diberikan kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya di setiap Parlimen.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.