SPR Malaysia jangka lebih 60% akan keluar mengundi bagi Pilihan Raya Kecil Kuala Kubu Baharu
Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) akan diketahui seawal pukul 9.00 malam ini, kata Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Dr Azmi Sharom.
(Gambar: FMT)
Menurutnya, ini kerana beliau yakin proses penjumlahan undi akan berjalan lancar, sekali gus membolehkan keputusan dapat diketahui dengan lebih cepat selain menjangkakan peratusan keluar mengundi bagi PRK berkenaan sekitar 60 peratus.
Beliau berkata demikian ketika ditemui para wartawan selepas meninjau proses pengundian di pusat mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan KKB hari ini (11 Mei).
Mengulas mengenai perjalanan proses pengundian hari ini, Encik Azmi berkata setakat tengah hari tadi, SPR berpuas hati dengan kelancaran dan peratusan jumlah keluar mengundi.
“Kita puas hati, setakat ini semua berjalan lancar, aman dan sangat bagus. Saya tak ada dengar apa-apa masalah, akses ke saluran mengundi pun bagus untuk warga emas dan OKU (Orang Kurang Upaya),” katanya.
PRK KKB yang menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Pang Sock Tao (Pakatan Harapan), Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas), diadakan menyusuli kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58 tahun, pada 21 Mac lalu akibat penyakit barah.
Proses pengundian hari ini melibatkan 39,269 pengundi yang akan menunaikan tanggungjawab mereka bagi memilih wakil rakyat baharu kawasan itu.
Sebanyak 18 pusat pengundian dengan 74 tempat mengundi atau saluran bagi PRK itu dibuka serentak pada 8.00 pagi tadi dan akan ditutup pada 6.00 petang kecuali pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Bukit Fraser yang mempunyai 40 pengundi ditutup pada pukul 2.00 petang.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.