Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Speaker AS Nancy Pelosi tiba di Taiwan, China ikrar akan lancar 'tindakan ketenteraan bersasar'

Anggaran Waktu Membaca:
Speaker AS Nancy Pelosi tiba di Taiwan, China ikrar akan lancar 'tindakan ketenteraan bersasar'

Pesawat AS yang membawa Speaker Nancy Pelosi mendarat di Lapangan Terbang Sungshan, Taipei pada 2 Ogos 2022. (Gambar: Sam Yeh/AFP)

Diterbitkan : 02 Aug 2022 11:30PM Dikemas Kini : 03 Aug 2022 12:27AM

TAIPEI: Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) Nancy Pelosi  tiba di Taiwan sebagai sebahagian lawatannya ke Asia, menurut gambar yang dilihat agensi berita AFP, mencetuskan kemarahan China yang berikrar untuk melancarkan "tindakan ketenteraan bersasar". 

"Tentera Pembebasan Rakyat China berada dalam tahap berjaga-jaga yang tinggi dan akan melancarkan beberapa siri operasi ketenteraan yang disasarkan, kami tegas mempertahankan kedaulatan negara dan integriti wilayah, dan secara tegas menangkis campur tangan luar dan percubaan pemisah 'kemerdekaan Taiwan'," kata jurucakap kementerian pertahanan Wu Qian berkata dalam satu kenyataan mengutuk lawatan itu.

Cik Pelosi merupakan tokoh politik paling kanan Amerika Syarikat (AS) yang melawat pulau tersebut dalam 25 tahun. 

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pejabat beliau selepas mendarat di Taipei,  Cik Pelosi berkata lawatannya "menghormati komitmen tidak berbelah bahagi Amerika untuk menyokong demokrasi Taiwan" dan "sama sekali tidak bercanggah dengan dasar AS yang telah lama wujud."

Kemungkinan Taiwan turut berada dalam jadual lawatan Cik Pelosi telah mencetuskan amaran daripada Beijing, dengan China memberi amaran pada awal Selasa (2 Ogos) bahawa AS akan "menanggung akibat" jika Cik Pelosi melawat Taiwan. 

"Pihak AS akan memikul tanggungjawab dan menanggung akibatnya kerana mencabar kepentingan keselamatan kedaulatan China," kata jurucakap kementerian luar Hua Chunying pada taklimat media di Beijing. 

Cik Pelosi berada di barisan kedua selepas jawatan Presiden dan pengkritik tegar China. 

Seorang sumber yang mengetahui jadualnya berkata, kebanyakan pertemuan yang dirancangkan, termasuk bersama Presiden Tsai Ing-wen, pada Rabu (3 Ogos).

Menurut laporan Reuters, empat sumber berkata Cik Pelosi dijadual bertemu dengan sekumpulan aktivis yang lantang bersuara tentang hak asasi manusia di China, pada Rabu (3 Ogos). 

China menganggap lawatan oleh pegawai AS ke Taiwan sebagai memberi  perangsang kepada puak penyokong kebebasan di pulau tersebut. 

Washington tidak menjalin hubungan diplomatik rasmi dengan Taiwan, tetapi tertakluk kepada undang-undang AS untuk menyediakan pulau itu dengan sumber untuk mempertahankan diri.

Sebelum lawatan Cik Pelosi, pesawat China dilaporkan terbang berdekatan sempadan yang membahagikan Selat Taiwan. 

Seorang sumber memberitahu Reuters bahawa pesawat China berulang kali melakukan pergerakan taktikal "menghampiri" garis sempadan itu dan berpusing balik ke bahagian semenanjung pada Selasa pagi (2 Ogos), manakala pesawat Taiwan bersiap sedia dekat dengan sempadan berkenaan.

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan