Skip to main content

Dunia

SpaceX lancar kapal angkasa untuk bawa pulang angkasawan terkandas

Anggaran Waktu Membaca:
SpaceX lancar kapal angkasa untuk bawa pulang angkasawan terkandas

Gambar: Chris O'Meara/AP

Diterbitkan : 29 Sep 2024 02:30PM Dikemas Kini : 29 Sep 2024 02:32PM

WASHINGTON: SpaceX pada Sabtu (28 Sep) berjaya melancarkan kapal angkasa Crew 9 dari Stesen Angkasa Cape Canaveral di Florida untuk membawa pulang dua angkasawan yang terkandas di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS), lapor United Press International (UPI).

Kapal angkasa berkenaan yang membawa angkasawan NASA Nick Hague dan angkasawan Rusia, Aleksandr Gorbunov berlepas seperti yang dirancang, dipacu ke angkasa oleh roket dua peringkat Falcon 9 yang boleh digunakan semula milik SpaceX.

Kapal angkasa syarikat yang berpangkalan di California itu berlepas mengikut jadual dari Pad 40 pada pukul 1.17 tengah hari waktu tempatan.

Hanya lebih dua minit selepas pelancarannya, peringkat pertama roket Falcon 9 itu melengkapkan pencucuhan, dipisahkan dari peringkat kedua dan mendarat di Zon Pendaratan 1 Cape Canaveral.

Pelancaran Falcon 9 dari Pad 40 itu adalah yang pertama bagi penerbangan manusia ke angkasa. Anggota kru yang menaiki Dragon milik SpaceX biasanya berlepas dari Pad 39A di Pusat Angkasa Kennedy namun kerja-kerja sedang dijalankan di lokasi itu.

Pelancaran itu ditangguhkan dari Khamis kerana angin kencang dan hujan akibat Taufan Helene di kawasan berkenaan.

Kapsul itu dijangka tiba di ISS pada sekitar pukul 5.30 petang waktu tempatan Ahad ini dan akan berada di stesen angkasa berkenaan selama enam bulan.

Ini merupakan penerbangan kedua Hague ke ISS, selaku komander misi dan kolonel dalam Angkatan Angkasa Amerika Syarikat.

Ia adalah penerbangan pertama ke angkasa bagi Gorbunov.

Pada penghujung Ogos, NASA mengesahkan bahawa ia mengurangkan saiz kru daripada empat kepada dua.

Agensi angkasa itu membuat keputusan tersebut untuk memberi laluan kepada pemulangan angkasawan kapal angkasa Starliner Boeing yang terkandas.

Misi membawa kru pertama kapal angkasa Boeing itu berakhir dengan kekecewaan bagi angkasawan Butch Wilmore dan Suni Williams selepas penerbangan ujian selama seminggu.

Mereka kini dijadual pulang ke Bumi pada Februari.

Starliner Boeing kembali ke Bumi tanpa kru awal bulan ini.

Sumber : AGENCIES/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita