Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

SOP sambutan Krismas, Thaipusam masih diperhalusi, kata Hishammuddin

Kerajaan Malaysia masih memperhalusi prosedur operasi standard (SOP) perayaan Krismas dan Thaipusam dengan mengambil kira keselamatan dan kesihatan rakyat serta penularan varian Omicron COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
SOP sambutan Krismas, Thaipusam masih diperhalusi, kata Hishammuddin

Hishammuddin Hussein. (Gambar fail: Roslan Rahman/AFP)

Diterbitkan : 14 Dec 2021 10:04PM Dikemas Kini : 14 Dec 2021 10:08PM

KUALA LUMPUR: Kerajaan masih memperhalusi prosedur operasi standard (SOP) perayaan Krismas dan Thaipusam dengan mengambil kira keselamatan dan kesihatan rakyat serta penularan varian Omicron COVID-19.

Pengerusi Mesyuarat Menteri Kuartet COVID-19, Hishammuddin Hussein berkata bagi perayaan Krismas, tumpuan diberikan kepada perangkaan SOP upacara keagamaan, aktiviti berkunjung ke rumah keluarga, persembahan secara langsung, upacara nyanyian koir dari rumah ke rumah dan gerai jualan Krismas.

Bagi perayaan Thaipusam pula, beliau berkata menerusi perbincangan bersama Menteri Sumber Manusia M. Saravanan yang juga Timbalan Presiden MIC, tumpuan diberikan kepada perangkaan SOP upacara keagamaan di kuil.

Menurut beliau lagi, turut diberikan tumpuan adalah perjalanan dan pergerakan kereta ‘Chariot’, membawa kavadi, membawa paal koodam atau belanga susu, mencukur rambut, upacara ritual (mandi) di sungai dan pembukaan gerai jualan.

“Kementerian Kesihatan (KKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perpaduan Negara dan pihak kuil akan turun ke lapangan untuk meneliti kapasiti ruang, keperluan logistik serta tempat-tempat persinggahan

"Penting untuk difahami, dalam menentukan setiap SOP, keutamaan kerajaan ialah keselamatan dan kesihatan rakyat terutamanya mengambil kira penularan varian Omicron di seluruh dunia ketika ini.

“Saya juga faham, hujung tahun seperti sekarang, ramai akan pulang ke kampung dan bercuti bersama keluarga. Pastikan pakai pelitup muka, elakkan tempat sesak, dapatkan dos penggalak jika layak, lakukan ujian COVID-19 secara berkala dan paling penting amalkan TRIIS (Uji, Lapor, Asing, Maklum, Dapatkan rawatan),” katanya.

Hishammuddin berkata pada mesyuarat kuartet yang diadakan hari ini, Menteri Perpaduan Negara Halimah Mohamed Sadique dan Saravanan dijemput untuk duduk semeja dengan pihak KKM serta pihak berkepentingan bagi menyelaraskan SOP bagi Krismas yang akan disambut 25 Dis ini, manakala Thaipusam pada 18 Jan 2022.

Sehubungan itu, beliau memohon jasa baik orang ramai supaya mematuhi setiap SOP yang bakal diumumkan Kementerian Perpaduan Negara kelak dengan penuh disiplin dan bertanggungjawab selari dengan matlamat kerajaan menerusi usaha ‘Reopening Safely’ atau pembukaan semula dengan selamat.

Sementara itu, Hishammuddin turut memaklumkan Saravanan telah diminta untuk memperjelaskan situasi sebenar berhubung SOP kemasukan pekerja asing, seterusnya mencadangkan pendekatan bersesuaian bagi menangani situasi berkenaan dalam mesyuarat kuartet hari ini.

“Penting untuk saya tegaskan, pada pihak Mesyuarat Kuartet, fokusnya hanyalah terhadap penambahbaikan dari sudut prapelepasan, semasa ketibaan, selepas ketibaan (tempoh kuarantin) dan pasca kuarantin.

“Untuk menentukan jumlah kemasukan pekerja asing, ia bukan di bawah bidang kuasa mesyuarat kuartet sebaliknya di bawah bidang kuasa Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Dalam Negeri,” katanya.

Hishammuddin berkata SOP baru tersebut telahpun tersedia dan diselaraskan namun ia banyak bergantung kepada jumlah kuota yang diluluskan oleh Jawatankuasa Bersama Antara Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia Mengenai Pengurusan Pekerja Asing.

Beliau berkata Kabinet yang bermesyuarat pada 10 Disember lalu sudah meminta menteri kuartet memperhalusi kaedah yang selamat untuk membawa masuk lebih ramai pekerja asing.

Hishammuddin berkata ia mengambil kira banyak kelonggaran yang telah diberikan terhadap sektor ekonomi sejak beberapa bulan lalu namun ada sebahagian pengusaha mengalami kesukaran untuk merancakkan semula perniagaan kerana kekurangan pekerja berikutan SOP kemasukan pekerja asing yang agak ketat.

Sementara itu, Saravanan berkata pada dasarnya kerajaan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju untuk mengadakan perayaan Thaipusam dan pergerakan pedati memandangkan ini merupakan perayaan agama tetapi beberapa cadangan ditetapkan untuk mengawal penularan COVID-19.

“Kita akan memperhalusinya (cadangan SOP) dalam mesyuarat akan datang,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Karnival Kerjaya Orang Kurang Upaya (OKU) di Pusat Dagangan Kuala Lumpur (WTC KL) hari ini.

Saravanan berkata semua lapisan masyarakat termasuk penganut Hindu perlu bertanggungjawab memikul beban bersama memerangi COVID-19 dalam menyambut perayaan keagamaan tersebut.

Pada 7 Dis, kerajaan memberitahu semua perarakan perayaan Thaipusam tidak dibenarkan berikutan kemunculan varian baru COVID-19, Omicron, namun selepas menerima kritikan pelbagai pihak, Kementerian Perpaduan Negara telah membuat kenyataan bahawa SOP COVID-19 untuk sambutan itu belum dimuktamadkan. 

Sumber : Bernama/AW/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan