Skip to main content

Dunia

Songket buatan luar negara malapkan industri tenunan Terengganu

Kemasukan kain songket buatan mesin dari India dan Pakistan berisiko menyebabkan pengusaha songket tenun asli dari Terengganu gulung tikar.

Anggaran Waktu Membaca:

SHAH ALAM: Kemasukan kain songket buatan mesin dari India dan Pakistan berisiko menyebabkan pengusaha songket tenun asli dari Terengganu gulung tikar.

Mana tidaknya, walaupun menawarkan harga lebih murah dengan kualiti fabriknya tidaklah setaraf buatan Terengganu, situasi itu juga boleh melenyapkan industri dan fabrik yang diwarisi sejak zaman-berzaman.

Proses menenun daripada seurat benang menjadi selembar kain songket itu kadangkala boleh mengambil masa berbulan lamanya setiap satu.

Belum ditambah dengan kos bahan yang melambung tinggi, pastinya sukar buat pengusaha untuk menandingi harga songket dari luar negara yang menggunakan mesin serta bahan kurang berkualiti.

Namun bagi pemilik Kak Nik Songket, Nik Zaliha Nik Abdullah, inilah dilema yang dihadapi pengusaha iaitu antara 'survival' dan meneruskan warisan nenek moyang.

"Industri songket memang terjejas dari dulu sebelum COVID-19, sebab lambakan songket dari Asia Selatan (India dan Pakistan) dengan harganya yang murah.

"Saya tak boleh bersaing harga mereka, mereka guna mesin, songket (Terengganu) ditenun ditambah dengan kos upah, harga barangan (benang) semakin meningkat, memang tak boleh jual murah," luah Nik Zaliha.

Jelas Nik Zaliha atau lebih mudah disapa Kak Nik yang mengusahakan songket di Terengganu dan bertapak di Shah Alam, harga yang dibayar pembeli sangat berbaloi dengan kualiti fabrik yang mampu bertahan hingga beratus-ratus tahun sekiranya dijaga dengan rapi.

Namun timbul pula satu isu lain, sikap segelintir peniaga yang tidak bertanggungjawab - mendakwa seolah-olah songket berkenaan adalah tenunan Terengganu, namun sebenarnya diimport dari India.

Ia sekali gus mencemar perusahan songket negara kerana ada pembeli yang tertipu apabila tidak dapat membezakan - mana songket Terengganu dan mana songket India.

"Beza songket Terengganu ini benangnya kilat dan bersinar, tidak kusam seperti songket dari India.

"Benang songket Terengganu akan timbul, tidak 'flat' seperti songket India ini. Jadi sebagai pembeli kena tahu supaya tidak tertipu," jelasnya.

Meletakkan harga yang terlalu tinggi juga jelasnya boleh mengakibatkan orang ramai takut untuk membeli songket tenunan Terengganu ini.

"Kak Nik nak persoal tapi nanti pengusaha marah. Tapi kenapalah jual harga sampai RM30,000 (S$9,546) hingga RM40,000 (S$12,728) tu, Kak Nik tak setuju dengan harga begitu.

"Apabila kita jual harga begitu orang ramai gerun untuk tengok dan beli songket Terengganu. Kita nak meniaga bukan satu helai, kita nak meniaga berterusan," katanya.

Menurutnya lagi, kerajaan Malaysia harus mengambil pendekatan - mengawal kemasukan songket buatan luar dan pada masa yang sama memberi galakan kepada pemain industri untuk meneruskan tradisi pemakaian busana warisan ini.

Sumber : Agensi berita/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita