Solat Tarawih, solat Aidilfitri didirikan di rumah jika COVID-19 berterusan: Mufti Besar Saudi
Umat Islam boleh menunaikan solat Tarawih dan solat Aidilfitri di rumah mereka sekiranya ia mustahil dikerjakan di masjid-masjid memandangkan langkah berjaga-jaga yang kini dilaksanakan oleh pihak berkuasa untuk melawan virus korona COVID-19.
Masjid Nabawi di Madinah, Arab Saudi
RIYADH: Umat Islam boleh menunaikan solat Tarawih dan solat Aidilfitri di rumah mereka sekiranya ia mustahil dikerjakan di masjid-masjid memandangkan langkah berjaga-jaga yang kini dilaksanakan oleh pihak berkuasa untuk melawan virus korona COVID-19.
Mufti Besar Arab Saudi, yang juga Presiden Majlis Ulama Kanan, Sheikh Abdulaziz Bin Abdullah Al Al-Sheikh dilaporkan berkata demikian pada Jumaat (17 Apr) dalam Saudi Press Agency.
Encik Al-Sheikh mengutarakan pendapatnya sebagai respons kepada soalan oleh Kementerian Ehwal Islam, Dakwah dan Bimbingan yang menerima beberapa pertanyaan mengenai solat Tarawih pada Ramadan di tengah-tengah keadaan pandemik virus korona itu sekarang.
Berucap khusus mengenai solat Tarawih, Mufti Besar itu berkata bahawa memandangkan mustahil untuk menunaikannya di masjid tahun ini dengan langkah-langkah pencegahan COVID-19, orang ramai boleh mengerjakan solat di rumah mereka untuk memanfaatkan malam-malam yang diberkati semasa bulan suci tersebut.
Beliau menambah ia terbukti bahawa Nabi Muhammad (saw) menawarkan pengerjaan solat Qiyam Al-Layl di rumah baginda dan sudah difahami bahawa solat Tarawih adalah sunnah, bukannya wajib.
Berhubung solat Aidilfitri pula, lapor Saudi Gazette, Encik Al-Syeikh berpendapat bahawa jika COVID-19 terus berlanjutan dan mustahil untuk mendirikannya di tempat solat terbuka dan masjid-masjid khusus, solat itu dapat dilakukan di rumah tanpa diikuti dengan khutbah.
Beliau menukil fatwa sebelumnya yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Tetap bagi Penyelidikan Cendekiawan dan Iftaa yang menyatakan bahawa jika seseorang terlepas mengerjakan solat Aidilfitri dan ingin mengqadanya, adalah wajar bagi individu itu menunaikannya dengan cara betul tetapi tanpa khutbah menyusulinya.
Menjawab soalan tambahan ketiga mengenai bilakah kali terakhir untuk membayar zakat dan permulaan takbir raya sekiranya solat tidak ditunaikan di kota-kota kecuali Masjid Nabawai dan Masjidil Haram, Encik Al-Syeikh berkata takbir boleh dimulakan dengan terbenamnya matahari pada hari terakhir Ramadan manakala zakat pula dapat dilunaskan hingga pagi hari lebaran dan solat hendaklah dikerjakan setelah terbenamnya matahari.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.