Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Solat jenazah ghaib bagi Sheikh Yusuf al-Qaradawi secara serentak di 3 masjid utama M'sia

Anggaran Waktu Membaca:
Solat jenazah ghaib bagi Sheikh Yusuf al-Qaradawi secara serentak di 3 masjid utama M'sia

Ulama tersohor dunia kelahiran Mesir, Prof Yusuf al-Qaradawi. (Gambar fail: AP)

PUTRAJAYA: Solat jenazah ghaib bagi ulama tersohor Sheikh Yusuf al-Qaradawi akan diadakan secara serentak di tiga masjid utama Malaysia selepas solat isyak pada Selasa malam (27 Sep), kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Hakimah Mohd Yusoff. 

Solat jenazah ghaib itu akan diadakan di Masjid Negara, Kuala Lumpur serta Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya. 

Dalam kenyataannya pada Selasa (27 Sep), beliau berkata Jakim turut menjemput semua Majlis dan Jabatan Agama Islam Negeri melalui masjid dan surau di seluruh negara agar turut sama mengadakan solat jenazah ghaib buat Almarhum.

“Semoga jenazah Almarhum diampunkan dan dirahmati oleh ALLAH SWT jua,” katanya.

Sheikh Yusuf al-Qaradawi, 97 tahun, meninggal dunia di Qatar pada Isnin (26 Sep), lapor agensi berita Anadolu yang memetik akaun Twitter rasminya pada Isnin. 

Jakim menzahirkan ucapan takziah atas kembalinya ke rahmatullah Ketua Kesatuan Ulama Islam Antarabangsa (IUMS) itu semalam dan pemergiannya merupakan satu kehilangan yang amat besar buat dunia. 

“Jasa Almarhum khususnya dalam dunia keilmuan, pemikiran dan dakwah sangat memberi kesan terhadap perkembangan dan kemajuan umat di seluruh dunia,” kata Encik Hakimah.

Beliau berkata kerajaan Malaysia pernah menganugerahkan Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa kepada Sheikh Yusuf al-Qaradawi atas jasa dan sumbangan beliau sempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan pada 1431H bersamaan 2009M. 

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan