Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Sokongan Gerakan terhadap Muhyiddin tidak luntur

Parti Gerakan tetap menyokong penuh kepimpinan Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) meskipun gabungan parti itu tidak menang besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Sokongan Gerakan terhadap Muhyiddin tidak luntur

Muhyiddin Yassin. (Gambar: BERNAMA)

KUALA LUMPUR: Parti Gerakan tetap menyokong penuh kepimpinan Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) meskipun gabungan parti itu tidak menang besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini.

Presiden Gerakan, Dr Dominic Lou Hoe Chai berkata parti itu tidak berputus asa dan akan terus bersama PN bagi membela nasib rakyat dalam PRN atau Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Walaupun tak menang besar untuk PRN Johor, (iaitu) hanya tiga kerusi, kita faham dan kita tak akan putus asa. Kita akan terus perjuangkan ideologi parti untuk menghadapi PRU15.

“Kekalahan ini bukan sebab kepimpinan seseorang sahaja. Gerakan masih bersama PN. Kami akan terus memberi sokongan sepenuhnya kepada Muhyiddin sebagai Pengerusi PN,” katanya semasa sidang media selepas Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Pusat parti itu pada Sabtu (19 Mac).

Dr Dominic berkata demikian bagi mengulas kenyataan Encik Muhyiddin pada 12 Mac lalu bahawa Ahli Parlimen Pagoh itu bertanggungjawab atas kekalahan gabungan tersebut dalam PRN Johor dan bersedia melepaskan jawatan sekiranya itu yang dimahukan oleh pimpinan parti gabungan tersebut.

PN hanya memenangi tiga kerusi daripada 56 yang dipertandingkan dalam PRN Johor iaitu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong, Endau dan Maharani.

Sementara itu, Dr Dominic berkata Gerakan akan memastikan senarai penyelaras serta calon yang akan bertanding dalam PRN dan PRU15 kelak dikeluarkan lebih awal bagi memudahkan jentera parti digerakkan.

“Kita akui memang bagi PRN Johor, ada kerusi yang kita bertanding (tapi) tiada persiapan dibuat untuk DUN yang kita bertanding.

“Oleh itu, mulai sekarang kita akan senaraikan semua kerusi yang (kita) bertanding dan penyelaras terlibat untuk persiapan PRU15 dan PRN akan datang. Jadi kita harap jentera kita akan buat persiapan awal,” katanya.

Menurut beliau lagi, PRU15 boleh diadakan hanya apabila kes COVID-19 merosot dan dalam keadaan terkawal bagi membolehkan peratusan keluar mengundi berada pada tahap memuaskan iaitu 70 hingga 80 peratus.

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan