Soal keamanan tiada tolak ansur, tegas PM Anwar susuli serangan Balai Polis Ulu Tiram
Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim ketika menghadiri sidang media bersama wakil media Malaysia di Kazakhstan, pada Jumaat (17 Mei). (Gambar: Bernama)
Mengulas serangan ke atas Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru awal pagi Jumaat (17 Mei), Encik Anwar berkata beliau menyokong segala usaha dilakukan oleh polis dan meminta rakyat memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.
"Soal keamanan kita tidak tolak ansur, kerajaan akan tegas. Nyawa rakyat adalah keutamaan kita, tiada maknanya kemajuan kalau keamanan tidak dikawal. Tindakan keras akan diambil bagi menghentikan kegilaan (keganasan) ini dan saya menyokong penuh langkah diambil Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Minta rakyat beri kerjasama, sentiasa berwaspada dan jangan bagi peluang kepada golongan jahat ini," katanya semasa sidang media pada hari terakhir lawatan kerja rasmi dua hari ke Kazakhstan pada Jumaat.
Dua anggota polis dan seorang suspek maut dalam insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram pada pukul 2.45 pagi tadi, manakala seorang lagi anggota polis cedera.
Encik Anwar berkata perkara lain yang juga perlu diatasi dengan tegas tanpa berkompromi termasuk perbuatan mereka yang memainkan isu kedudukan Raja-Raja Melayu.
"Tahniah kepada PDRM, kita mahu tindakan tegas, tiada tolak ansur, kerana kita mahu negara dihormati. Bila negara dihormati dunia, ekonomi akan meningkat," kata Encik Anwar.
LAPORAN BERKAITAN:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.