Skip to main content

Dunia

SNCC nafi dakwaan Israel misi Global Sumud Flotilla tidak bawa bantuan kemanusiaan

Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Israel misi Global Sumud Flotilla (GSF) tidak membawa bantuan kemanusiaan.

Anggaran Waktu Membaca:
SNCC nafi dakwaan Israel misi Global Sumud Flotilla tidak bawa bantuan kemanusiaan

Ketua Pengarah Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC), Sani Araby Abdul Alim Araby. (Gambar: Bernama)

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 04 Oct 2025 09:58AM
SEPANG: Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Israel misi Global Sumud Flotilla (GSF) tidak membawa bantuan kemanusiaan.

Ketua Pengarah SNCC Sani Araby Abdul Alim Araby berkata sejak awal lagi, semua perkembangan berkaitan penghantaran bantuan sudah dikongsi secara terbuka di media sosial rasmi GSF dan Sumud Nusantara, termasuk sumbangan terakhir daripada Agensi Bulan Sabit Merah Turki (Kizilay).

“Kami sudah menjangkakan naratif ini akan dimainkan bagi menunjukkan perjalanan GSF hanyalah untuk membangkitkan gelombang dunia. Saya kira ini adalah satu petunjuk yang sangat besar bahawa rejim Israel kini berada dalam tekanan,” kata beliau semasa sidang media pada Jumaat (3 Okt).

Dr Sani Araby berkata pada peringkat akhir, bantuan tambahan turut dihantar oleh Kizilay menggunakan kapal tentera laut Turki.

Beliau turut memaklumkan bahawa kapal terakhir Johnny M tidak dapat meneruskan pelayaran selepas dimasuki air sehingga separuh karam.

Menurut Dr Sani Araby, GSF sejak berlepas dari Barcelona, Itali, Tunisia, Greece dan Malta, flotila itu membawa pelbagai bentuk bantuan dengan bukti bergambar yang sudah pun dikongsikan.

Beliau bagaimanapun menegaskan tumpuan utama ketika ini adalah untuk memastikan keselamatan 495 peserta yang kini dalam tahanan Israel.

“Misi ini ditahan tanpa sebab munasabah. Kita tidak membawa senjata dan delegasi kita memberikan kerjasama penuh. Malah, kamera litar tertutup (CCTV) yang boleh dilihat secara langsung menunjukkan tiada sebarang pergerakan mencurigakan yang boleh menggambarkan kita membawa ancaman,” kata beliau.

Oleh itu, Dr Sani Araby berharap seluruh rakyat Malaysia memberi tumpuan kepada Israel yang mencabul hak kemanusiaan.

“Jika kita terlalu fokus kepada persoalan ‘bantuan pergi ke mana’, kita sudah bawa naratif pesong bahawa siapa yang mencabuli misi,” katanya.

Ditanya tentang gelombang kedua misi kemanusiaan ke Gaza, Dr Sani Araby berkata selagi Gaza tidak dibebaskan, hak rakyatnya terus dinafikan dan kebuluran meruncing, dunia akan terus bangkit menyuarakan perpaduan.

Beliau berkata daripada perspektif antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), landskap kini semakin panas apabila negara seperti Colombia terus konsisten dalam melaksanakan tindakan yang perlu termasuk mengambil pendirian memutuskan hubungan serta mengusir wakil Israel sebagai tekanan diplomatik.

“Jadi, masing-masing sedang melaksanakan peranan yang saya kira cukup mengejutkan kita dalam sejarah moden ini. Selepas 75 tahun, termasuklah United Kingdom (mengiktiraf Palestin),” kata beliau.

GSF disertai lebih 500 aktivis dari 45 negara yang belayar menuju ke Gaza sebagai simbol perpaduan dan usaha menembusi sekatan Israel, sambil menghantar bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita