Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

'Smart Pakem' yang bertujuan lapor pihak yang "menyimpang" dikhuatiri cetus perpecahan sosial

Komisi Nasional Hak Asasi Manusia Indonesia menyatakan bahawa ia prihatin tentang pelancaran satu aplikasi mudah alih oleh Pejabat Pendakwa Raya Jakarta, yang membolehkan orang awam untuk melaporkan sebarang kepercayaan keagamaan yang dianggap "sesat".

Anggaran Waktu Membaca:
'Smart Pakem' yang bertujuan lapor pihak yang "menyimpang" dikhuatiri cetus perpecahan sosial

Penduduk Indonesia di sebuah masjid di Jakarta. (Gambar: Bay Ismoyo/AFP)

Diterbitkan : 28 Nov 2018 12:46AM Dikemas Kini : 28 Nov 2018 12:49AM

JAKARTA: Komisi Nasional Hak Asasi Manusia Indonesia menyatakan bahawa ia prihatin tentang pelancaran satu aplikasi mudah alih oleh Pejabat Pendakwa Raya Jakarta, yang membolehkan orang awam untuk melaporkan sebarang kepercayaan keagamaan yang dianggap "sesat".

Indonesia tidak menetapkan sebarang agama rasmi negara tetapi para penduduknya diwajibkan mendaftarkan butiran diri, termasuk agama yang dipegang.

Bagaimanapun, masih ada kebimbangan tentang sikap tidak bertolak ansur dalam negara yang majoritinya penganut Muslim, serta undang-undang yang menindas kaum minoriti dan kelompok-kelompok penganut Islam mahzab lain seperti Ahmadiyyah.

Aplikasi tersebut, yang dipanggil "Smart Pakem", turut menyenaraikan kumpulan-kumpulan seperti Ahmadiyyah dan Gafatar, yang disifatkan Majlis Ulama Indonesia sebagai kelompok yang menyimpang.

Tujuan sebenar senarai itu dikeluarkan masih lagi belum jelas tetapi beberapa kumpulan seperti Gafatar diisytiharkan sebagai kelompok yang menyimpang. Aplikasi tersebut pula menyediakan satu pautan yang membolehkan orang ramai untuk melaporkan sebarang pertubuhan yang dianggap satu ancaman bagi negara.

Aplikasi itu "akan membawa natijah berbahaya kerana akan mengakibatkan perpecahan sosial," kata Encik Amiruddin Al-Rahab, seorang pesuruhjaya di Komisi Nasional Hak Asasi Manusia.

"Apabila para tetangga melaporkan satu sama lain, ia akan mencetuskan satu masalah," kata Encik Al-Rahab kepada Reuters.

Meskipun dikritik kumpulan-kumpulan hak asasi manusia, aplikasi itu ditawarkan secara percuma dan boleh dimuat turun melalui Google Play Store mulai petang kelmarin (26 Nov).

Encik Al-Rahab menambah, memandangkan ciri-ciri aplikasi berkenaan belum ditawarkan sepenuhnya, tidak jelas sama ada pejabat pendakwa raya akan menyertakan panduan lengkap bagi menentukan pertubuhan-pertubuhan tertentu diklafikasikan sebagai "berbahaya" atau kepercayaan yang dianggap "menyimpang".

"Jangan biarkan orang ramai terpinga-pinga, jika mereka keliru, mereka akan membuat andaian sendiri," katanya, sambil menambah bahawa aplikasi itu mungkin melanggar keputusan Mahkamah Perlembagaan tahun lalu tentang hak para penganut agama yang sebelum ini tidak diiktiraf di Indonesia.

Pejabat Pendakwa Jakarta tidak dapat dihubungi untuk mengulas tentang isu ini.

Yulianto, seorang pegawai di Pejabat Pendakwa Raya Jakarta, dilaporkan Kompas.com sebagai berkata bahawa aplikasi itu bertujuan untuk mendidik orang ramai di samping menjadikan proses membuat aduan menjadi lebih telus.

Pejabat Peguam Negara Indonesia mempunyai kuasa di bawah undang-undang untuk memantau sebarang kegiatan keagamaan bagi kekal berwaspada sekiranya ada kepercayaan yang bakal mengancam masyarakat umum. Pasukan-pasukan kemudian akan dikerahkan untuk menyiasat dakwaan yang dikemukakan.  

Sumber : Reuters/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan