Skim RGL M'sia-S'pura digantung sementara mulai 13 Mei
Malaysia menggantung sementara Skim Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) Malaysia-Singapura di peringkat Malaysia bermula 13 Mei, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Suasana Koswe pada 7 pagi 18 Mac 2020 (Gambar: Try Sutrisno Foo)
KUALA LUMPUR: Malaysia menggantung sementara Skim Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) Malaysia-Singapura di peringkat Malaysia bermula 13 Mei, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Justeru pelawat dari Singapura yang ingin memasuki Malaysia bagi tujuan perniagaan, perlu menggunakan saluran 'One Stop Centre (OSC)' atau pusat sehenti yang disediakan oleh Lembaga Pembangunan Malaysia (MIDA), kata beliau.
Beliau menambah langkah itu diambil ekoran penyenaraian Singapura sebagai sebuah daripada negara yang melaporkan penularan 'Variant of Concern' (VOC) SARSCoV-2 dalam masyarakat oleh Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Ia berdasarkan kepada laporan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Singapura, iaitu laporan kes berkenaan melibatkan varian Afrika Selatan B.1.351, varian United Kingdom B.1.1.7, varian Brazil B.1.1.28 (P1) termasuk 'Variant of Interest' (VOI) dari India iaitu B.1.617.1,” kata beliau menerusi kenyataan media berhubung situasi semasa COVID-19 di Malaysia pada Isnin (10 Mei).
Selain itu, Dr Noor Hisham berkata semua pelawat yang memasuki Malaysia dari Singapura dan pelawat yang menggunakan kemudahan Skim Aturan Perjalanan Berkala (PCA) perlu menjalani kuarantin wajib 14 hari di stesen kuarantin yang diwartakan kerajaan mulai 13 Mei.
Pelawat dari Singapura juga tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) kemasukan pelawat dari negara dengan penularan VOC SARS-CoV-2 dalam komuniti.
Beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) akan sentiasa mengemas kini senarai negara dengan penularan VOC SARS-CoV-2 dalam masyarakat dan akan memaklumkan kepada umum dari semasa ke semasa.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.