Skip to main content

Dunia

Skim penukaran motosikal Indonesia sasar 50,000 unit pada 2023

Anggaran Waktu Membaca:
Skim penukaran motosikal Indonesia sasar 50,000 unit pada 2023

(Gambar: iStock)

Diterbitkan : 05 Apr 2023 06:16PM
JAKARTA: Pemerintah Indonesia menyasarkan untuk menukar 50,000 motosikal yang menggunakan minyak kepada motosikal elektrik tahun ini.

Ia merupakan sebahagian daripada usahanya untuk menggalakkan penggunaan kenderaan elektrik (EV) di negara itu.

Skim tersebut akan membantu Indonesia mengurangkan pergantungannya kepada minyak import, kata seorang pegawai pemerintah daripada Kementerian Sumber Mineral.

Statisktik daripada kementerian itu menunjukkan bahawa pada 2021, Indonesia mengimport 22.09 juta kiloliter minyak. Ia merupakan kenaikan dari 20.87 juta kiloliter yang diimport tahun sebelumnya.

Encik Dadan Kusdiana, ketua pengarah bagi tenaga boleh diperbaharui di Kementerian Sumber Mineral, berkata bahawa motosikal elektrik tersebut akan membolehkan import minyak ke Indonesia dikurangkan sebanyak 20,000 kiloliter.

Ia juga akan menjimatkan pemerintah AS$10 juta (S$13 juta) dalam pertukaran mata wang asing.

Beliau menambah bahawa pihak berkuasa akan menjimatkan sehingga 18.6 bilion rupiah (S$1.6 juta) daripada pampasan minyak bersubsidi dengan penukaran 50,000 motosikal yang menggunakan minyak kepada motosikal elektrik.

Encik Dadan menegaskan bahawa skim penukaran itu akan membantu penunggang motosikal mengurangkan perbelanjaan bagi minyak, terutama sekali pada Pertalite (minyak RON 90).

Bulan lalu, Menteri Kewangan Indonesia Sri Mulyani Indrawati berkata bahawa dana negara sebanyak tujuh trilion rupiah (S$621 juta) akan diketepikan bagi subsidi motosikal elektrik.

Menurut Reuters, Cik Mulyani berkata bahawa subsidi baru itu akan meliputi penjualan 800,000 motosikal elektrik baru serta penukaran 200,000 enjin pembakaran motosikal.

Menurut akhbar Jakarta Globe, Indonesia menyasarkan untuk mempunyai 13 juta motosikal elektrik menjelang 2030.

Setakat Oktober tahun lalu, terdapat kira-kira 32,000 motosikal elektrik di jalan raya Indonesia, menurut laporan media tempatan.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita