Skandal 1MDB: Roger Ng mengaku tidak bersalah
Bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa, 51 tahun, mengaku tidak bersalah ketika di hadapkan ke mahkamah di New York pada Isnin (6 Mei).
(Gambar fail: Manan Vatsyayana/AFP)
NEW YORK: Bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa, 51 tahun, mengaku tidak bersalah ketika di hadapkan ke mahkamah di New York pada Isnin (6 Mei).
Ng didakwa atas tuduhan rasuah dan beberapa tuduhan lain berhubung skandal 1MDB selepas diekstradisi dari Malaysia.
Warga Malaysia itu adalah bekas pengarah urusan di sebuah bank yang kini berdepan pendakwaan di Malaysia dan Amerika membabitkan skandal 1MDB. Menurut Peguam Negara Malaysia Tommy Thomas, Ng diekstradisi ke Amerika Syarikat pada Jumaat lalu.
Jurucakap pejabat peguam di daerah timur New York berkata Ng didakwa atas kesemua pertuduhan di hadapan seorang hakim mahkamah persekutuan di Brooklyn.
Peguam Ng, Marc Agnifilo, berkata setakat ini, tiada rundingan mengenai rayuan dikemukakan dan anak guamnya akan mempertimbangkan semua pilihan yang ada. Beliau menambah, ia selepas hakim berkata, kedua-dua pihak dalam sedang dalam rundingan untuk membuat rayuan dalam kes berkenaan.
Ng dibebaskan dengan jaminan selepas membayar wang tunai AS$1 juta (S$1.36 juta) secara tunai daripada AS$20 juta bon (S$27.3 juta), yang ditetapkan, menurut jurucakap itu. Ng dikenakan arahan tahanan dalam rumah dan dipantau dengan peralatan elektronik.
Antara pertuduhan yang dihadapi Ng termasuk berkomplot untuk melakukan rasuah dan pengubahan wang haram.
Sejumlah wang awam yang besar dicuri dari dana negara 1MDB dan digunakan untuk membeli harta kekayaan peribadi, termasuk kapal layar dan karya seni, dalam satu skim yang didakwa melibatkan mantan Perdana Menteri Malaysia Najib Razak dan kroninya.
Peranan Goldman mendapat perhatian kerana bank di Wall Street itu membantu menguruskan bon AS$6.5 bilion (S$8.86 juta) untuk 1MDB.
Encik Thomas dalam satu kenyataan berkata, Malaysia bersetuju untuk mengekstradisi sementara Ng ke Amerika Syarikat selama 10 bulan, bagi membolehkan pendakwaan dibuat ke atasnya di negara itu.
Ng ditahan di Malaysia sejak November lalu, selepas Amerika Syarikat membuat pertuduhan berkaitan 1MDB ke atasnya, sekali gus mengemukakan permohonan ekstradisi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.