Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Siwak: 'Berus gigi semula jadi' pilihan pada bulan Ramadan

Anggaran Waktu Membaca:

RIYADH: Bulan Ramadan berteraskan iman, sejarah dan budaya dan ini termasuk amalan penggunaan siwak sebagai cara membersihkan mulut dan gigi.

Ramai umat Islam menggunakan siwak pada siang hari untuk mengekalkan kesegaran, kebersihan mulut dan melindungi kesihatan gigi secara keseluruhan, menurut Arab News.

Dalam tradisi Islam pula, menggunakan siwak itu merupakan sunnah Nabi Muhammad, dengan adanya pelbagai hadith yang menekankan kelebihannya.

Di Arab Saudi, siwak biasanya diperoleh daripada pokok Salvadora persica L, atau dikenali sebagai 'arak' dalam bahasa Arab.

Pokok itu juga boleh didapati di Sudan, Mesir dan Chad. Pokok kurma atau zaitun yang rasanya pahit juga boleh digunakan untuk siwak.

Di Asia Selatan pula, pokok neem adalah pilihan yang popular untuk digunakan untuk siwak.

Siwak boleh diperoleh daripada pelbagai pokok, kecuali pokok-pokok yang berpotensi menimbulkan bahaya, seperti pokok delima dan kemuning.

Dalam pada itu, siwak turut mendapat pengiktirafan di luar wilayah Arab. Pada tahun 1986 dan 2000, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan penggunaan siwak untuk kebersihan mulut.

Hari ini, semakin banyak bukti saintifik menunjukkan bahawa siwak mempunyai khasiat perubatan dan membantu melawan plak, kerosakan gigi, gusi berdarah dan pelbagai lagi masalah berkaitan.

Seorang doktor gigi, Mohammed Zahid, berkata, siwak adalah "berus gigi semula jadi", yang antara faedahnya adalah "memberi wangian dalam mulut dan menajamkan ingatan".

Penjualan siwak cenderung meningkat dua kali ganda di Arab Saudi sepanjang bulan Ramadan kerana orang ramai memilih teknik kebersihan tradisional, lapor Arab News.

Menjelang Ramadan, setiap kedai memastikan bahawa siwak tersedia bagi pembeli dan selalu diletakkan di kauntar daftar keluar kedai.

"Saya menjangkakan jualan meningkat hampir 300 peratus pada bulan Ramadan," kata Abdullah Al-Otaibi, seorang penjual siwak di Riyadh.

Seorang lagi penjual siwak di daerah Al-Wazarat di Riyadh, dikenali sebagai Bilal berkata, keuntungan hariannya pada bulan Ramadan berpotensi mencecah antara 50 riyal Saudi (S$17.58) hingga 200 riyal Saudi (S$70.70).

Sumber : Agensi berita/NY/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan