Situasi banjir M'sia semakin pulih; mangsa di Johor dan Melaka berkurangan

(Gambar fail: BERNAMA)
KUALA LUMPUR: Bilangan mangsa banjir yang masih berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di Johor dan Melaka pada petang ini (13 Jan) berkurangan kepada 649 orang berbanding 720 orang pagi tadi.
Di Johor, jumlah mangsa banjir semakin berkurang kepada 636 orang setakat 4.00 petang ini berbanding 705 individu pagi tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri R. Vidyananthan berkata tiga daerah masih terjejas banjir melibatkan 17 PPS dengan Muar mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 321 orang, diikuti Segamat (303) dan Tangkak (12).
“Bagaimanapun, stesen Sungai Muar di Bukit Kepong, Muar yang mencatatkan paras amaran kini menunjukkan trend penurunan. Selain itu, cuaca di seluruh negeri kini dilaporkan cerah termasuk di daerah terjejas banjir,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, beliau berkata Jalan Felda Bukit Aping di Kota Tinggi masih ditutup kepada semua kenderaan susulan kejadian tanah runtuh.
Di Melaka, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata mangsa banjir di Melaka menurun kepada 13 orang daripada tiga keluarga pada pukul 4.00 petang ini dan kesemua mangsa ditempatkan di satu PPS di Jasin.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.