Skip to main content

Dunia

Siti Kassim dibebaskan setelah mahkamah tolak permohonan reman

Polis membebaskan aktivis Siti Zabedah Kassim atau dikenali sebagai Siti Kassim, setelah Mahkamah Kajang menolak permohonan reman terhadap beliau hari ini (24 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:
Siti Kassim dibebaskan setelah mahkamah tolak permohonan reman
Diterbitkan : 24 Jun 2018 08:32PM Dikemas Kini : 24 Jun 2018 09:29PM

KAJANG: Polis membebaskan aktivis Siti Zabedah Kassim atau dikenali sebagai Siti Kassim, setelah Mahkamah Kajang menolak permohonan reman terhadap beliau hari ini (24 Jun).

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata bagaimanapun polis masih menyiasat kes itu mengikut Seksyen 363 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana dakwaan menculik serta menghalang tugas penjawat awam. 

"Mahkamah menolak permohonan reman kepada Siti Kassim dan pihak polis telah melaksanakan bidang kuasa yang diperuntukkan kepada kami, jadi polis membebaskan Siti Kasim petang ini juga. 

"Siasatan masih berjalan dan dijangka akan dipanjangkan kepada pihak Pendakwa Raya tidak lama lagi," katanya ketika ditemui di sini hari ini. 

ACP Ahmad Dzaffir turut menyangkal dakwaan bahawa pihaknya tidak mempunyai kuasa untuk menahan Siti Kassim serta anak guamnya kerana tindakan dilakukan pihak polis dibuat mengikut undang-undang diperuntukkan di bawah Kanun Keseksaan Akta 574 dan Kanun Prosedur Jenayah Akta 593. 

"Mengenai tangkapan Siti Kassim semalam, polis telah mengambil setiap langkah mengikut undang-undang sedia ada mengikut Seksyen 363 dan 186 Kanun Keseksaan, yang mana kedua-dua seksyen itu membenarkan untuk tangkapan dan kita tidak memilih mana-mana pihak untuk buat tangkapan," katanya. 

Sementara itu, Siti Kassim yang ditemui di sidang media itu berkata beliau sedia memberi kerjasama kepada pihak polis mengenai kes berkenaan. 

"Saya berterima kasih kepada mahkamah kerana menolak reman kerana apa yang saya lakukan adalah sebagai seorang peguam sewaktu saya bertugas, saya bukan mahu menimbulkan sebarang masalah," kata beliau.

Aktivis itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang pada 12.40 malam tadi (23 Jun) kerana dipercayai menghalang tugas penjawat awam susuli aduan polis oleh seorang wanita yang mendakwa peguam itu melarikan anak perempuannya yang berusia 24 tahun Khamis lalu (21 Jun).

Wanita berkenaan dilarikan ketika sedang menjalani pemeriksaan psikiatri di Hospital Kajang sebelum diselamatkan pasukan polis di sebuah unit kondominium di Segambut malam tadi.

Sumber : Bernama/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita