Skip to main content

Dunia

SITE: ISIS mengaku dalang serangan bom gereja selatan Filipina

ISIS mengaku mendalangi serangan bom ke atas sebuah gereja di selatan Filipina yang meragut 20 nyawa. Serangan itu memperhebat lagi tekanan terhadap usaha damai yang bertujuan menamatkan keganasan pemisah yang berlarutan buat sekian lama.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 28 Jan 2019 06:21PM Dikemas Kini : 28 Jan 2019 11:33PM

MANILA: ISIS mengaku mendalangi serangan bom ke atas sebuah gereja di selatan Filipina yang meragut 20 nyawa. Serangan itu memperhebat lagi tekanan terhadap usaha damai yang bertujuan menamatkan keganasan pemisah yang berlarutan buat sekian lama.

Dua letupan memusnahkan gereja yang terletak di pulau Jolo, yang majoritinya penduduk Islam. Serangan yang dilakukan semasa upacara sembahyang pada Ahad itu mengorbankan para penganut dan pasukan keselamatan. Ia merupakan salah satu serangan bom paling dahsyat di negara itu dalam beberapa tahun.

Pakar-pakar menyuarakan keprihatinan mereka hari ini (28 Jan) tentang kesan serangan itu terhadap usaha damai yang sudah bertahun-tahun dijalankan. Majoriti penduduk di wilayah selatan Filipina menyokong usulan memberi kuasa autonomi lebih besar kepada wilayah itu.

Keputusan pungutan suara itu hasil daripada proses damai sejak tahun 1990-an dengan pihak pemisah Filipina, Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF). Ia akan memberi kuasa lebih luas kepada wilayah Bangsamoro.

ISIS dalam satu kenyataan formal mengaku dua pengebom nekad melakukan serangan. Demikian menurut Kumpulan Perisikan SITE, yang memantau kegiatan-kegiatan pengganas.

Namun, laporan tentera mendedahkan bom kedua ditinggalkan dalam kotak peralatan motosikal di tempat letak kereta gereja berkenaan. Polis menyatakan bahan letupan itu dipercayai diletupkan dari jarak jauh, tetapi tidak mengulas lanjut.

Meskipun ada percanggahan, pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan ISIS terlibat.

Puak pengganas lain yang bersekutu dengan ISIS - termasuk Abu Sayyaf - yang tidak terlibat dalam usaha damai, juga dikenal pasti sebagai suspek utama.

Pulau terpencil Jolo dikatakan menjadi pangkalan kumpulan tersebut, yang dituduh sebagai dalang beberapa pengeboman maut, termasuk serangan pengganas ke atas sebuah feri di Manila Bay pada 2004 yang meragut 116 nyawa.  

Sumber : AFP/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita