Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Siswa maut akibat strok haba selepas jalani latihan ketenteraan di Malaysia, bapa dakwa anak didera

Polis Malaysia mengesahkan sembilan saksi telah dipanggil untuk merekodkan keterangan mereka berhubung dakwaan kes penderaan terhadap kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) UiTM Muhammad Amir Rusyaidi Muhammad Zaidi.

Anggaran Waktu Membaca:
Siswa maut akibat strok haba selepas jalani latihan ketenteraan di Malaysia, bapa dakwa anak didera

(Gambar fail: Facebook/Universiti Teknologi MARA - Media Rasmi)

Diterbitkan : 28 Nov 2024 06:35PM Dikemas Kini : 28 Nov 2024 06:36PM
KUALA LUMPUR: Polis Malaysia mengesahkan sembilan saksi telah dipanggil untuk merekodkan keterangan mereka berhubung dakwaan kes penderaan terhadap kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) UiTM Muhammad Amir Rusyaidi Muhammad Zaidi.

Sembilan yang dipanggil termasuk pelaku yang didakwa bersalah, lapor Malaysiakini, pada Khamis 28 Nov.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Mohd Iqbal Ibrahim memberi maklum balas kepada Malaysiakini sama ada polis telah menahan pelaku yang didakwa.

"Ada salah faham... (Dia) dipanggil untuk memberi kenyataan," kata Encik Iqbal.

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata bapa mangsa Muhammad Zaidi Abdul Rahman adalah antara sembilan saksi yang telah dipanggil untuk disoal siasat.

Dia juga berkata siasatan awal mendapati sesi latihan “tidak berjadual” yang didakwa sebenarnya adalah ujian kecergasan sebelum latihan asas Palapes dimulakan pada 2025.

“Pada hari kejadian, arwah dikenakan hukuman tekan tubi oleh jurulatih kerana ketinggalan semasa sesi larian.

“Pelajar itu diperhatikan melompat berulang kali sebelum rebah,” katanya.

Encik Hussein turut berkata, Allahyarham Amir dirawat di wad kecemasan zon merah Hospital Shah Alam.

Jelasnya, hasil pemeriksaan awal, mangsa dalam keadaan separuh sedar dan mempunyai suhu badan yang tinggi.

“Walaupun usaha rehidrasi diberikan, tiada tindak balas positif. Allahyarham mengalami sawan dan menerima rawatan seterusnya sebelum dimasukkan ke unit rawatan rapi. Tiada kecederaan luaran ditemui pada badan.

“Pelajar itu disahkan meninggal dunia pada 13 Nov 2024, kira-kira jam 2.01 pagi. Punca kematian ditentukan sebagai ‘strok haba dengan kegagalan multiorgan’,” tambahnya.

Pada Rabu, Malaysiakini melaporkan Amir meninggal dunia pada 13 Nov selepas mengikuti sesi latihan yang didakwa meletihkan.

Bapa Amir mendakwa dalam laporan polis bahawa anaknya telah mengalami pelbagai bentuk penderaan fizikal, termasuk dipijak di dada, dipaksa melakukan pergerakan seperti kuda dengan jurulatih menunggang di belakangnya, dan diarah melompat seperti kanggaru.

Aktiviti pada 10 Nov ini didakwa dirakamkan dalam video oleh jurulatih.

Kadet berusia 25 tahun itu rebah selepas menjalani latihan dan koma sehingga kematiannya.
Sumber : Sumber Web/SU/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan