Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Sistem prapelepasan jemaah haji Malaysia dilaksana sepenuhnya tahun ini

Jemaah haji Malaysia bagi musim haji tahun ini, tidak perlu lagi menunggu lama untuk pemeriksaan pasport di Arab Saudi, kata Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH) Zukri Samat.

Anggaran Waktu Membaca:
Sistem prapelepasan jemaah haji Malaysia dilaksana sepenuhnya tahun ini

Proses pemeriksaan pasport dijalankan lebih awal di KLIA sebelum para jemaah berlepas ke Tanah Suci. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 01 Mar 2019 01:35PM Dikemas Kini : 01 Mar 2019 01:37PM

KUALA LUMPUR: Jemaah haji Malaysia bagi musim haji tahun ini, tidak perlu lagi menunggu lama untuk pemeriksaan pasport di Arab Saudi, kata Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH) Zukri Samat.

Ini kerana sistem prapelepasan yang sebelum ini dijadikan projek perintis pada tahun lepas, akan mula dilaksanakan sepenuhnya pada musim haji tahun ini.

Encik Zukri berkata, melalui sistem itu, jemaah haji tidak perlu lagi melalui proses pemeriksaan pasport, Imigresen dan Kastam setibanya di Arab Saudi kerana ia akan dilaksanakan lebih awal di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berlepas ke Tanah Suci.

"Kita cuba untuk mempertingkat mutu perkhidmatan TH pada tahun ini dengan membuat pre-clearance (prapelepasan) di mana jemaah haji Malaysia datang ke KLIA untuk kita buat clearance (pelepasan) dengan Imigresen Malaysia dan Arab Saudi.

"Maknanya, jemaah haji yang tiba di lapangan terbang Jeddah atau Madinah tidak perlu menunggu lama di lapangan terbang dan mereka akan terus dibawa ke hotel masing-masing," katanya.

Encik Zukri selanjutnya berkata Malaysia adalah negara pertama di dunia yang bekerjasama dengan kerajaan Arab Saudi untuk melaksanakan sistem berkenaan. Sistem itu dikatakan lebih teratur bagi kemudahan jemaah haji, selepas kejayaan pelaksanaan projek perintis sistem itu sebelum ini.

Jelasnya, kos bagi kemudahan sistem prapelepasan itu dimasukkan ke dalam kos keseluruhan haji tahun ini iaitu RM22,900 (S$7,600) dengan TH memberi subsidi sebanyak RM12,920 (S$4,300) kepada jemaah haji muassasah kali pertama hanya perlu membayar RM9,980 (S$3,300).

Dalam pada itu, Encik Zukri berkata TH sedang mempertingkat mutu perkhidmatan bagi memastikan keselesaan jemaah menunaikan Rukun Islam kelima. Antaranya pendingin udara disediakan di setiap khemah berikutan cuaca panas yang dijangka berlaku pada musim haji itu nanti.

Encik Zukri berkata pihaknya sudah mengeluarkan surat tawaran kepada bakal jemaah yang berjaya mulai 18 Feb.

Setakat ini, pihaknya menerima sebanyak 103,000 rayuan bagi permohonan haji dan semua rayuan tersebut akan mula diproses bulan depan.

Kira-kira 30,000 jemaaah haji Malaysia meraih manfaat daripada projek perintis prapelepasan itu yang dilaksanakan tahun lalu. Sebelum ini para jemaah Malaysia terpaksa menunggu berjam-jam untuk pemeriksaan pasport di Arab Saudi. 

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan