Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Sistem kesihatan Afghanistan hampir runtuh; lebih 2,000 kemudahan sudah tutup

Sistem kesihatan Afghanistan sedang berada di ambang keruntuhan, kata seorang pegawai kanan Palang Merah sambil mendedahkan bahawa lebih 2,000 kemudahan kesihatan telah ditutup di seluruh negara yang dibelenggu konflik itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Sistem kesihatan Afghanistan hampir runtuh; lebih 2,000 kemudahan sudah tutup

Ribuan penduduk Afghanistan cuba melarikan diri ke Pakistan. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 01 Oct 2021 10:29AM Dikemas Kini : 01 Oct 2021 10:31AM

KABUL: Sistem kesihatan Afghanistan sedang berada di ambang keruntuhan, kata seorang pegawai kanan Palang Merah sambil mendedahkan bahawa lebih 2,000 kemudahan kesihatan telah ditutup di seluruh negara yang dibelenggu konflik itu.

Persekutuan Persatuan-persatuan Palang Merah dan Sabit Merah Antarabangsa(IFRC) memberi amaran bahawa sistem kesihatan Afghanistan diancam masalah kekurangan dana yang amat kritikal.

"Petugas mungkin bersetuju untuk bekerja tanpa gaji untuk beberapa minggu lagi," kata Pengarah Asia Pasifik IFRC Alexander Matheou.

"Tetapi sebaik sahaja bekalan ubat-ubatan habis, jika anda tidak boleh lagi membuka lampu, tidak ada apa lagi untuk ditawarkan kepada pesakit yang datang ke klinik, mereka akan tutup pintu."

Afghanistan bergelut dengan peperangan selama lebih empat dekad dan kini ekonominya pula terhenti selepas Taliban mengambil alih kuasa Ogos lalu, berikutan sekatan serta pemotongan bantuan asing.

Keadaan itu memberi kesan besar, terutama ke atas sektor kesihatan yang dikendalikan pertubuhan bukan pemerintah (NGO) menggunakan dana dalaman sebelum Taliban berkuasa.

"Lebih 2,000 kemudahan kesihatan sudah ditutup," kata Encik Matheou kepada AFP.

Lebih 20,000 petugas kesihatan di negara itu pula sudah tidak lagi bekerja ataupun bekerja tanpa gaji, tambahnya.

Lebih 7,000 daripada mereka adalah wanita.

VAKSIN AKAN LUPUT

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) minggu lalu memberi amaran bahawa kurang seperlima daripada kemudahan kesihatan negara itu masih berfungsi sepenuhnya dengan dua pertiga kehabisan ubat-ubatan penting.

Ini boleh menyebabkan kesan teruk, termasuk terhadap usaha menangani pandemik COVID-19.

Hanya satu peratus penduduk Afghanistan sudah menerima vaksin, dengan lebih sejuta dos lagi belum diagihkan.

Malah, vaksin itu akan luput menjelang akhir tahun ini, kata Encik Matheou.

Palang Merah Afghanistan yang berkhidmat di negara ini selama berdekad-dekad, adalah sebahagian daripada rangkaian kerja IFRC dan mengendalikan 140 klinik kesihatan utama di seluruh Afghanistan.

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pula sebelum ini menyatakan bahawa lebih 18 juta penduduk Afghanistan, iaitu separuh penduduknya amat memerlukan bantuan manakala lagi sepertiga berisiko kebuluran.

Masyarakat antarabangsa sudahpun berikrar akan menyumbang $1.2 bilion tetapi dana mengambil masa untuk disalurkan.

Sumber : AFP/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan