Skip to main content

Dunia

Sistem jagaan kesihatan Australia makin terbeban dek lonjakan kes COVID-19

Anggaran Waktu Membaca:

SYDNEY: Sistem jagaan kesihatan Australia semakin terbeban pada Rabu (5 Jan) disebabkan oleh lonjakan pada jumlah kes baru COVID-19 yang mencecah paras rekod buat tiga hari berturut-turut.

Hampir 53,000 kes baru dilaporkan di New South Wales dan Victoria. Kedua-dua wilayah itu, dengan jumlah penduduk yang paling ramai di Australia, mencatatkan jumlah kes tertingi dalam tempoh sehari dan melebihi perangkaan peringkat nasional pada Selasa (4 Jan), dengan sekitar 47,800 kes.

Para pesakit yang dirawat di hospital di kedua-dua wilayah itu meningkat 10 peratus berbanding hari sebelumnya. Pihak berkuasa turut memberi amaran bahawa jumlah itu akan meningkat dalam masa beberapa minggu akan datang.

"Kita berdepan dengan minggu-minggu yang mencabar," kata Timbalan Setiausaha Kesihatan New South Wales Susan Pearce kepada para wartawan.

Perdana Menteri Scott Morrison, yang semakin tertekan disebabkan oleh kelengahan proses ujian dan kekurangan bekalan, dijangka akan mengambil langkah-langkah untuk meredakan krisis tersebut apabila beliau bertemu dengan para pemimpin wilayah dan daerah pada lewat hari ini.

Australia sudah merekodkan lebih 600,000 kes dan 2,290 kematian sejak pandemik melanda, dengan lebih separuh daripada jangkitan tersebut dilaporkan sejak dua minggu lalu.

Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita