Skip to main content

Dunia

Sistem jagaan kesihatan Afghanistan hampir runtuh

Sistem jagaan kesihatan Afghanistan berisiko akan runtuh, menurut dua agensi bantuan kepada Reuters, selepas badan-badan bantuan asing berhenti menghulurkan bantuan menyusuli rampasan kuasa Taliban.

Anggaran Waktu Membaca:
Sistem jagaan kesihatan Afghanistan hampir runtuh

Gambar fail: REUTERS

Diterbitkan : 31 Aug 2021 02:19PM Dikemas Kini : 31 Aug 2021 02:23PM

REUTERS: Sistem jagaan kesihatan Afghanistan berisiko akan runtuh, menurut dua agensi bantuan kepada Reuters, selepas badan-badan bantuan asing berhenti menghulurkan bantuan menyusuli rampasan kuasa Taliban.

Selepas Amerika Syarikat mengundurkan sebahagian besar baki askarnya bulan lalu, Taliban mempergiat kempen tenteranya sekali gus menguasai ibu kota Kabul pada 15 Ogos.

Badan-badan bantuan antarabangsa termasuk Bank Dunia dan Kesatuan Eropah (EU) memberhentikan pendanaan kepada Afghanistan tidak lama kemudian.

"Salah satu risiko paling besar ke atas sistem jagaan kesihatan di sini adalah keruntuhuan akibat kurangnya sokongan," kata Encik Filipe Ribeiro, wakil Afghanistan bagi Médecins Sans Frontières (MSF), iaitu salah satu agensi bantuan perubatan terbesar di negara itu.

"Sistem kesihatan Afghanistan keseluruhannya mengalami kekurangan kakitangan, peralatan dan pendanaan, sudah bertahun-tahun lamanya. Dan risiko terbesar adalah dananya akan terus tidak mencukupi."

Encik Necephor Mghendi, ketua Persekutuan Palang Merah dan Sabit Merah Antarabangsa (IFRC) di Afghanistan, berkata sistem jagaan kesihatan yang memang tidak kukuh dan amat bergantung kepada bantuan asing, dibiarkan berdepan tekanan tambahan.

"Keperluan kemanusiaan di lapangan amat besar," kata beliau.

PERMINTAAN MENINGKAT

Kedua-dua agensi bantuan menyatakan meskipun operasi di lapangan rata-ratanya tidak terjejas, ia menyaksikan kenaikan tinggi dalam permintaan kerana kemudahan lain tidak dapat berfungsi sepenuhnya.

Encik Mghendi berkata penutupan bank-bank di Afghanistan bermakna hampir semua agensi-agensi kemanusiaan tidak dapat mengakses dana mereka, menyebabkan para penyedia dan kakitangan tidak bergaji.

Memburukkan lagi isu tersebut, bekalan perubatan kini perlu dibekalkan lebih awal daripada yang dijangkakan.

"Bekalan-bekalan yang sepatutnya cukup untuk tiga bulan tidak akan bertahan untuk tiga bulan. Kami mungkin perlu menambah bekalan lebih awal daripada itu,"ujar beliau.

Encik Ribeiro berkata MSF sudahpun menambah bekalan perubatan sebelum rampasan kuasa itu tetapi dengan penerbangan terjejas dan sempadan darat dalam keadaan kucar-kacir, ia belum jelas bagaimana lebih banyak bekalan boleh sampai ke negara itu.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan pada Isnin (30 Ogos) bahawa sebuah pesawat dengan 12.5 tan bekalan perubatan dan kesihatan sudah mendarat di Mazar-i-Sharif di bahagian utara Afghanistan, penghantaran sedemikian adalah yang pertama sejak Taliban merampas kuasa.

Sumber : Reuters/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita