Sistem AI Meta, Llama ditawarkan kepada sekutu Amerika di Eropah, Asia
Negara-negara sekutu Amerika Syarikat di Eropah dan Asia kini akan mempunyai akses kepada sistem kecerdasan buatan (AI) Llama keluaran Meta Platforms, menurut syarikat itu pada Selasa (23 Sep), sehari selepas Amerika Syarikat meluluskan penggunaannya untuk agensi-agensi pemerintah.
Logo Meta, papan kekunci dan tangan robot kelihatan dalam ilustrasi ini yang diterbitkan pada 27 Januari 2025. (Gambar fail: REUTERS/Dado Ruvic)
Llama adalah sebuah model bahasa yang mampu memproses data termasuk teks, video, gambar dan audio.
Gergasi media sosial itu kini memperluaskan akses sistem itu kepada beberapa sekutu demokratik Amerika Syarikat di Eropah dan Asia: Perancis, Jerman, Itali, Jepun dan Korea Selatan, serta institusi Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan Kesatuan Eropah (EU), menurutnya dalam satu catatan blog.
Meta akan bekerjasama dengan syarikat-syarikat seperti Microsoft, AWS milik Amazon, Oracle dan Palantir, antara lain, untuk membawakan huraian berasaskan Llama kepada negara-negara sekutu Amerika Syarikat.
Meta menerbitkan model Llama secara percuma atau dengan kos minimum bagi kegunaan para pembangun, satu strategi yang Ketua Pegawai Eksekutif Meta Mark Zuckerberg, sebelum ini berkata akan membuahkan hasil dalam bentuk produk-produk yang inovatif, kurang kebergantungan kepada pesaing berpotensi serta meningkatkan penggunaan rangkaian sosial teras syarikat tersebut.
Badan perolehan pemerintah Amerika Syarikat, Pentadbiran Perkhidmatan Am (GSA), akan memasukkan Llama ke dalam senarai alat AI yang diluluskan untuk kegunaan oleh agensi-agensi persekutuan, kata ketua perolehannya, Josh Gruenbaum, pada Isnin.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.