Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Sisi beri amaran 'campur tangan langsung' Mesir di Libya

Presiden Mesir memberi amaran pada Sabtu (20 Jun) bahawa kemaraan pasukan Libya yang disokong Turki di bandar Sirte, Libya boleh mencetuskan campur tangan tentera Mesir di negara jiran itu sebagai menyokong sekutu Kaherah, Khalifa Haftar.

Anggaran Waktu Membaca:
Sisi beri amaran 'campur tangan langsung' Mesir di Libya

Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi (tengah) bertemu komander Libya Khalifa Haftar (kanan) dan speaker Parlimen Libya Aguila Saleh awal bulan ini (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 22 Jun 2020 12:22AM Dikemas Kini : 22 Jun 2020 12:26AM

KAHERAH: Presiden Mesir memberi amaran pada Sabtu (20 Jun) bahawa kemaraan pasukan Libya yang disokong Turki di bandar Sirte, Libya boleh mencetuskan campur tangan tentera Mesir di negara jiran itu sebagai menyokong sekutu Kaherah, Khalifa Haftar.

Sementara itu, Ankara menggesa pasukan diterajui Haftar yang berpangkalan di timur untuk menarik diri dari kota strategik itu supaya satu gencatan senjata boleh dicapai.

Pemerintah Perjanjian Nasional (GNA) yang diiktiraf oleh PBB di Tripoli telah mencapai kemajuan ketenteraan yang besar terhadap pasukan Haftar baru-baru ini kerana sokongan lebih kuat dari penyokongnya Turki.

Bandar utama Sirte, yang terletak kira-kira 450km dari timur ibu kota itu berada di bawah kawalan pasukan Haftar, yang tahun lalu melancarkan usaha yang dibatalkan baru-baru ini untuk merampas kawasan barat Libya.

Dalam satu ucapan yang disiarkan di televisyen, Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi berkata Sirte adalah "garis merah" untuk Mesir. Beliau berkata "campur tangan langsung" di Libya perlu untuk melindungi sempadannya.

"Sekiranya rakyat Libya meminta kami untuk campur tangan, itu adalah isyarat kepada dunia bahawa Mesir dan Libya berkongsi ... kepentingan bersama, keselamatan dan kestabilan," kata Presiden Sisi pada Sabtu.

GNA mengecam amaran Presiden Sisi, dengan menegaskan sebarang bentuk campur tangan akan mengancam keselamatan Libya.

"Kami menolak dengan tegas apa yang dikatakan oleh al-Sisi dan menganggapnya sebagai perang berterusan terhadap rakyat Libya, campur tangan dalam hal ehwal Libya dan ancaman berbahaya terhadap keselamatan negara," kata Encik Mohammed Amari Zayed, anggota majlis presiden GNA.

Turki juga berikrar untuk terus menyokong usaha GNA bagi menawan Sirte dan menuntut pasukan Haftar berundur dari kota itu untuk "gencatan senjata yang berkekalan".

Libya dicengkam keganasan dan dikuasai puak-puak bersenjata dan tentera upahan sejak pemimpin kuku besi yang lama memerintah Muammar Gaddafi digulingkan dan dibunuh pada 2011 dalam pemberontakan yang disokong oleh negara-negara Barat.

Negara yang kaya dengan minyak itu terbahagi antara kuasa-kuasa pemerintahan yang bermusuhan di timur dan barat dengan konflik itu melibatkan semakin banyak pihak asing.

Selain Mesir, Rusia dan Amiriah Arab Bersatu menyokong Haftar, sementara GNA disokong oleh Turki dan Qatar.

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan