Skip to main content

Dunia

Sisa kimia: Pelajar mengadu sesak nafas, 2 sekolah ditutup semula

Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Puteh dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Putih hari ini (11 Mac) diarah tutup semula setelah beberapa pelajar mengadu sesak nafas, dipercayai akibat terhidu sisa bahan kimia.

Anggaran Waktu Membaca:
Sisa kimia: Pelajar mengadu sesak nafas, 2 sekolah ditutup semula

Antara pesakit yang dimasukkan ke hospital akibat terhidu gas daripada sisa kimia yang dibuang di Sungai Kim Kim. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 11 Mar 2019 09:12PM Dikemas Kini : 11 Mar 2019 09:15PM

JOHOR BAHRU: Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Puteh dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Putih hari ini (11 Mac) diarah tutup semula setelah beberapa pelajar mengadu sesak nafas, dipercayai akibat terhidu sisa bahan kimia.

Dua sekolah itu dibuka hari ini setelah diarah tutup sejak Khamis lepas apabila ada pelajar mengalami sesak nafas, muntah dan pengsan selepas terhidu gas dipercayai daripada bahan kimia yang dibuang ke dalam Sungai Kim Kim, kira-kira 500 meter dari sekolah itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri Dr Sahruddin Jamal berkata kedua-dua sekolah itu akan ditutup buat sementara waktu dan statusnya akan diputuskan selepas dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Bencana negeri.

"Setakat jam 12.30 tengah hari ini, lapan murid dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) manakala lebih 10 pelajar dirawat di sekolah dan dewan berdekatan," katanya kepada pemberita selepas ditemui di Dewan Taman Pasir Putih, yang dijadikan pusat operasi sementara, hari ini.

Dr Sahruddin turut memeriksa dan memberi rawatan awal kepada murid-murid dan pelajar yang mengalami sesak nafas.

Ditanya sama ada punca kejadian dikaitkan dengan pencemaran udara, Dr Sahruddin berkata pelbagai faktor boleh mempengaruhi keadaan itu, bagaimanapun punca sebenar belum dikenal pasti.

"Sebelum ini JAS dan Hazmat (Bomba) sudah membuat penilaian dan sahkan keadaan selamat, itu sebab kita buka sekolah...tapi pihak sekolah hubungi kami (pihak berkuasa) dan mendakwa ada pelajar mempunyai simptom sesak nafas dan sebagainya," katanya.

Dr Sahruddin berkata kontraktor sudah dilantik untuk membersihkan sisa kimia di sungai itu dan kerja pembersihan yang dijadual bermula hari ini dijangka mengambil masa lima hari meliputi kawasan sungai sepanjang 1.3 kilometer.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik memberi jaminan pihak kementerian akan terus memantau perkembangan kes keracunan gas metana di dua sekolah di kawasan Taman Pasir Putih, Pasir Gudang itu hingga kes selesai.

Beliau berkata kementerian juga komited menjalankan kerja-kerja pembersihan terhadap kedua-dua sekolah itu bagi memastikan sekolah benar-benar selamat untuk pelajar kembali ke sekolah.

Khamis lepas media melaporkan 1,400 pelajar dari kedua-dua sekolah itu diarah mengosongkan kawasan sekolah apabila beberapa pelajar mengalami sesak nafas, muntah dan pengsan berikutan terhidu bau gas yang dipercayai daripada bahan kimia yang dibuang ke Sungai Kim Kim.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita