Skip to main content

Dunia

SIS Forum gugur perkataan Islam dari nama asalnya susuli titah Sultan Selangor

SIS Forum (Malaysia) hari ini (31 Jul) mengumumkan bahawa ia tidak lagi menggunakan nama “Sisters in Islam” menyusuli titah Sultan Selangor pada bulan lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
SIS Forum gugur perkataan Islam dari nama asalnya susuli titah Sultan Selangor

SIS Forum di Mahkamah Persekutuan pada 19 Jun 2025. (Gambar: Malay Mail/Choo Choy May)

Diterbitkan : 31 Jul 2025 12:47PM Dikemas Kini : 31 Jul 2025 01:29PM
PETALING JAYA: SIS Forum (Malaysia) hari ini (31 Jul) mengumumkan bahawa ia tidak lagi menggunakan nama “Sisters in Islam” menyusuli titah Sultan Selangor pada bulan lalu.

Menurut pertubuhan itu, keputusan tersebut dibuat semasa Mesyuarat Agung Luar Biasa pada 11 Julai, dan ia kini akan dikenali dengan nama berdaftarnya.

“Walaupun kami menggugurkan perkataan ‘Islam’ daripada nama pertubuhan kami, kami tetap teguh dalam komitmen kami untuk memperjuangkan kesaksamaan jantina dan keadilan dalam undang-undang keluarga Islam.

"Hakikatnya, kerja-kerja yang kami lakukan untuk wanita Islam dan warga Malaysia adalah yang paling penting," kata Pengarah Eksekutif Rozana Isa dalam satu kenyataan.

SIS Forum menyatakan bahawa ia telah beroperasi di bawah nama "Sisters in Islam" untuk mencerminkan peranannya sebagai pertubuhan yang memperjuangkan keadilan dan kesaksamaan untuk wanita Islam di Malaysia dan kepercayaannya bahawa Islam adalah agama yang adil dan penuh belas ihsan.

“Kami berharap ini dapat menamatkan pertikaian lama mengenai nama kami dan membolehkan kami untuk maju dengan rela hati dengan semua pihak,” kata Cik Rozana.

"Wanita adalah sama di sisi Tuhan. Pastinya, mereka juga mesti dilihat dan diperlakukan sama di mata lelaki."

Kumpulan itu turut menjelaskan bahawa kerja advokasinya tidak bertujuan untuk mencabar Islam, tetapi untuk memastikan wanita tidak terhambat oleh undang-undang yang bertujuan untuk melindungi mereka.

Ia memetik isu berterusan termasuk tunggakan nafkah, poligami dan perceraian, keganasan rumah tangga, dan kekurangan tafsiran undang-undang yang sensitif jantina.

"Kebimbangan ini adalah nyata dan sistemik. Ia menuntut perhatian, bukan ditolak begitu sahaja," kata Cik Rozana.

Bulan lalu, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah bahawa beliau kecewa dan sedih selepas Mahkamah Persekutuan memutuskan fatwa 2014 yang dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa Selangor tidak terpakai bagi Forum SIS sebagai sebuah pertubuhan atau institusi, tetapi hanya kepada individu.

Sultan Selangor kemudian menggesa Forum SIS Malaysia supaya berhenti menggunakan istilah “Sisters in Islam” bagi menghalang penggunaan sewenang-wenangnya istilah Islam untuk manfaat dan kepentingan pertubuhan tersebut.
Sumber : Agensi berita/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita