Siri serangan baru Rusia bedil prasarana tenaga Ukraine; bekalan elektrik terputus di beberapa wilayah

Penduduk ibu kota Ukraine, Kyiv berlindung di sebuah laluan bawah tanah di tengah-tengah serangan udara Rusia pada 5 Disember 2022. (Gambar: Dimitar Dilkoff/AFP)
KYIV: Rusia pada Isnin (5 Sep) melancarkan siri serangan baru peluru berpandu ke atas prasarana tenaga Ukraine, menyebabkan bekalan elektrik terputus di beberapa wilayah.
Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy berkata sistem pertahanan udaranya berjaya menembak jatuh 60 daripada lebih 70 peluru berpandu Rusia yang dilancarkan dalam serangan itu.
Sekurang-kurangnya empat orang terbunuh dan beberapa bangunan, termasuk rumah-rumah, musnah.
Di ibu kota Kyiv, para penduduknya bergegas ke kubu-kubu bawah tanah apabila semboyan amaran dibunyikan.
Bahkan, Ketua Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Volker Turk, yang sedang berada di Kyiv juga terpaksa berlindung di dalam sebuah kubu.
Tentera Rusia menyerang prasarana tenaga Ukraine sejak Oktober lalu.
Sekitar separuh daripada rangkaian bekalan elektrik Ukraine sudah musnah, menyebabkan jutaan penduduknya kekurangan tenaga elektrik dalam musim sejuk yang baru bermula.
Tentera Ukraine pula dilaporkan menyerang dua pangkalan tentera Rusia di dalam wilayah Rusia.
Akhbar New York Times menukil seorang pegawai kanan Ukraine sebagai berkata serangan menggunakan dron itu memusnahkan sekurang-kurangnya dua pesawat dan merosakkan beberapa yang lain.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.