Singapura komited perkasa wanita, tingkat penyertaan dalam ekonomi - Dr Faishal
Singapura komited untuk terus memperkasa kaum wanita dan memberi mereka lebih banyak peluang dan ruang membangunkan keupayaan ekonomi dan kerjaya sambil menguruskan keluarga.

Setiausaha Parlimen Kanan Pembangunan Sosial dan Keluarga Dr Faishal Ibrahim.
CHILE: Singapura komited untuk terus memperkasa kaum wanita dan memberi mereka lebih banyak peluang dan ruang membangunkan keupayaan ekonomi dan kerjaya sambil menguruskan keluarga.
Setiausaha Parlimen Kanan Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) merangkap Pendidikan Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim berkata demikian dalam Forum Wanita dan Ekonomi APEC di La Serena, Chile pada Jumaat (4 Okt).
Menurutnya, kadar pengambilan pekerja wanita yang berusia antara 25 hingga 64 tahun sudah meningkat dari 65 peratus pada 2008 kepada 72 peratus pada 2018. Malahan, Singapura di tangga ketujuh dari 36 negara OECD bagi wanita yang bekerja sepenuh masa.
Profesor Faishal memimpin rombongan Singapura ke pertemuan tahunan para pemimpin dari sektor awam, swasta, bukan pemerintah dan juga akademik untuk membincangkan usaha memperkasa wanita dalam ekonomi APEC.
Dalam ucapan beliau di Dialog Dasar Peringkat Tinggi, Profesor Faishal berkongsi pengalaman Singapura dalam menggalakkan suasana yang memberi keupayaan untuk mereka memaksimakan potensi ekonomi sambil menguruskan keluarga dan juga aspirasi kerjaya.
Beliau memberi contoh bagaimana pelajar lelaki dan perempuan di Singapura diberi akses dan galakan yang seimbang dalam pendidikan peringkat tinggi yang bermutu dan termampu.
Profesor Faishal turut berkongsi langkah-langkah yang diambil Singapura dalam merapatkan jurang jantina di ruang digital dan menggalak lebih ramai wanita dalam industri sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (Stem).
Beliau berkongsi bahawa kadar pelajar wanita sepenuh masa di politeknik dan universiti masing-masing sebanyak 48 peratus dan 50 peratus.
Singapura juga tambah beliau menggalak aturan kerja yang lebih fleksibel untuk memudahkan wanita yang perlu mengimbangi keluarga dan kerjaya.
"Hari ini, lebih 90 peratus pekerja bekerja di syarikat yang mempunyai aturan kerja fleksibel seperti teleperkhidmatan atau kongsi-kerja.
"Malahan, baru-baru ini kami menambah belanjawan untuk geran yang memberikan insentif kepada syarikat-syarikat yang mengamalkan aturan kerja lebih fleksibel, iaitu dari S$30 juta kepada S$100 juta."
Selain itu, Dr Faishal berkata Pemerintah menggalak peranan dan tanggungjawab keibubapaan yang lebih adil. Beliau memberi contoh, cuti bapa selama lapan minggu untuk menjaga bayi baru lahir.
"Kadar pengambilan cuti bapa amat menggalakkan, meningkat dari 37 peratus pada 2014 kepada 53 peratus pada 2017. Kami juga bekerjasama dengan rakan masyarakat seperti "Keluarga Sepanjang hayat dan Pusat Keibubapaan" untuk menggalak kaum lelaki memainkan peranan lebih aktif dalam menjaga anak," ujar Dr Faishal lagi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.