Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Singapura dan Indonesia meterai set perjanjian 'seimbang' yang tangani 3 isu lama: PM Lee

Anggaran Waktu Membaca:
02:22 Min
Singapura dan Indonesia telah menandatangani satu set perjanjian "seimbang" yang menangani isu dua hala "yang telah lama wujud" berhubung Rantau Maklumat Penerbangan (FIR), kerjasama pertahanan dan ekstradisi orang diburu, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Selasa (25 Jan).
Diterbitkan : 25 Jan 2022 04:37PM Dikemas Kini : 25 Jan 2022 08:54PM

BINTAN: Singapura dan Indonesia telah menandatangani satu set perjanjian "seimbang" yang menangani isu dua hala "yang telah lama wujud" berhubung Rantau Maklumat Penerbangan (FIR), kerjasama pertahanan dan ekstradisi orang diburu, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Selasa (25 Jan).

Bercakap semasa sidang media bersama dengan Presiden Indonesia Joko Widodo di Retreat Pemimpin-pemimpin Singapura-Indonesia ke-5, Encik Lee berkata ketiga-tiga isu tersebut adalah penting kepada kedua-dua negara.

“Isu-isu itu ada dalam agenda dua hala kami sejak beberapa dekad lamanya. Kami telah bekerjasama dan membincangkannya banyak kali sebelum ini,” kata Encik Lee.

Kedua-dua pemimpin sebelum itu menyaksikan pemeteraian perjanjian tersebut di pusat peranginan Sanchaya di Bintan.

Encik Lee berkata pada Retreat Pemimpin-pemimpin sebelumnya pada Oktober 2019, beliau dan Encik Widodo telah memutuskan bahawa "sudah tiba masanya untuk menyelesaikan secara tegas isu-isu dua hala ini".

"Kami menyokong rangka kerja yang akan menangani keperluan dan kepentingan kedua-dua pihak", kata Encik Lee, sambil menambah bahawa Menteri Penyelaras Hal Ehwal Maritim dan Pelaburan Indonesia Luhut Pandjaitan dan Menteri Kanan merangkap Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara,Teo Chee Hean ditugaskan untuk mengadakan rundingan susulan terperinci.

“Pemeteraian perjanjian ini menunjukkan hubungan Singapura-Indonesia yang kukuh dan matang,” kata Encik Lee.

"Perjanjian-perjanjian ini mengambil kira kepentingan kedua-dua negara, mencerminkan keseimbangan manfaat yang baik, dan merupakan perjanjian yang tahan lama untuk jangka panjang, direka untuk bertahan sekurang-kurangnya satu generasi."

Perjanjian itu juga mewujudkan "asas kukuh" bagi kedua-dua negara untuk meningkatkan lagi hubungan dua hala dengan yakin, tambah Encik Lee.

PENJAJARAN SEMULA SEMPADAN FIR

Di bawah perjanjian pengurusan ruang udara, Singapura dan Indonesia bersetuju untuk menyelaraskan semula sempadan antara Rantau Maklumat Penerbangan Jakarta (FIR) dengan FIR Singapura.

Semasa sidang media bersama pada Selasa, Encik Lee berkata: "Perjanjian FIR akan memenuhi keperluan penerbangan awam kedua-dua negara, dan mengukuhkan keselamatan dan kecekapan trafik udara dengan cara yang konsisten dengan peraturan ICAO (Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa).

Indonesia telah berulang kali menyatakan hasratnya untuk mengambil alih kawalan FIR di ruang udara kepulauan Riau, yang telah dikendalikan Singapura sejak 1946 seperti yang ditetapkan ICAO.

Singapura di pihaknya pula telah berulang kali mengatakan bahawa FIR bukanlah satu isu kedaulatan, tetapi mengenai keselamatan dan kecekapan trafik udara komersil.

PERJANJIAN KERJASAMA PERTAHANAN DAN EKSTRADISI

Mengulas mengenai Perjanjian Kerjasama Pertahanan, Encik Lee berkata ia akan mengukuhkan kerjasama antara angkatan bersenjata Singapura dan Indonesia, dan memajukan lagi hubungan pertahanan dua hala.

Beliau menambah: "Perjanjian ekstradisi akan meningkatkan kerjasama dalam memerangi jenayah dan memberi isyarat positif yang jelas kepada pelabur."

Singapura dan Indonesia sebelum ini telah menandatangani Perjanjian Ekstradisi dan Perjanjian Kerjasama Pertahanan sebagai satu pakej pada April 2007, disaksikan oleh Encik Lee dan presiden Indonesia ketika itu Susilo Bambang Yudhoyono.

Bagaimanapun, kedua-dua perjanjian itu masih belum disahkan oleh Dewan Perwakilan Rakyat Indonesia.

Encik Lee berkata pada Selasa bahawa kedua-dua negara sudah bertukar-tukar surat janji untuk melaksanakan tiga perjanjian terbaru tersebut secara serentak.

"Apa yang perlu dilakukan sekarang ialah bagi kedua-dua negara melengkapkan proses dalam negeri masing-masing untuk mengesahkan dan menguatkuasakan set perjanjian tersebut," katanya.

PM Lee juga mengucapkan terima kasih kepada Encik Widodo kerana membawa "hasil yang sangat positif" melalui kepimpinan dan visi beliau, serta "kerja keras pegawai di kedua-dua negara yang berkongsi tekad bersama untuk mencapai kemajuan dalam isu dua hala yang telah lama wujud ini".

"Saya menggalakkan menteri dan pegawai untuk mengekalkan kerjasama dan penyelarasan yang erat serta melaksanakan perjanjian dengan segera," katanya.

PERJALANAN RENTAS SEMPADAN

Dalam pada itu, Encik Lee juga berkata beliau telah berbincang dengan Encik Widodo mengenai penyambungan semula perjalanan rentas sempadan, sambil menarik perhatian bahawa Indonesia telah menyambung perjalanan pelancongan dari Singapura ke Bintan dan Batam.

"Ia melaksanakan aturan perjalanan khas ke Bintan dan Batam, dan Singapura akan berbincang dengan Indonesia tentang bagaimana kami boleh membuatnya perjalanan dua hala, dan kami berharap perbincangan ini tidak akan mengambil masa terlalu lama," katanya.

Encik Lee berkata beliau dan Encik Widodo bersetuju untuk meneruskan perbincangan untuk melanjutkan perjalanan udara dan laut ke lebih banyak destinasi di Indonesia.

“Namun kita perlu mengambil kira situasi COVID, dan khususnya penularan varian Omicron, dan kami akan melakukannya pada kadar yang mana kedua-dua pihak rasa selesa, dengan mengambil kira keadaan kesihatan awam negara masing-masing,” kata Encik Lee.

BACA: Peraturan urus pelawat S'pura ke Bintan & Batam akan disemak secara kerap

KERJASAMA DUA HALA

Encik Lee berkata beliau dan Encik Widodo juga menyemak semula kerjasama dua hala sedia ada, termasuk dalam mengukuhkan hubungan institusi untuk memperdalam kerjasama kewangan.

Singapura dan Indonesia juga sedang meneroka bidang kerjasama baru, seperti kemampanan, ekonomi hijau, ekonomi digital dan pembangunan modal insan, tambah Encik Lee.

"Singapura secara berterusan menjadi pelabur asing utama Indonesia sejak 2014, dan walaupun dilanda pandemik, pelaburan kami telah meningkat," kata PM Lee lagi.

Kedua-dua negara juga menandatangani beberapa lagi perjanjian dua hala pada Selasa.

Kementerian kewangan Singapura dan Indonesia menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) mengenai kerjasama kewangan dan ekonomi.

MOU itu meliputi bidang kerjasama tradisional seperti kerjasama kastam dan dasar fiskal, serta bidang baru muncul seperti perkhidmatan kewangan, kewangan iklim dan ekonomi digital.

Bank pusat kedua-dua negara juga menandatangani MOU untuk mengukuhkan kerjasama dua hala dan mengeratkan hubungan.

MOU itu menggalakkan kerjasama dalam projek yang berkaitan dengan inovasi pembayaran, dan kerjasama dalam meluaskan rangkaian fungsi bank pusat dan kawal selia, kata Penguasa Kewangan Singapura dan Bank Indonesia.

Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE) dan Kementerian Pembangunan Nasional Indonesia turut menandatangani MOU mengenai kerjasama dalam pembangunan ekonomi hijau dan kitar semula barangan.

Ini termasuk kerjasama dalam sumber dan inisiatif kitar semula untuk menangani sisa elektronik, makanan dan pembungkusansseperti plastik.

Kedua-dua negara juga menandatangani MOU dalam kerjasama daya tenaga untuk meneruskan peralihan tenaga di kedua-dua negara dan rantau ini.

Selain itu, Kementerian Pendidikan (MOE) dan Kementerian Pendidikan, Kebudayaan, Penyelidikan dan Teknologi Indonesia menandatangani Aturan Perkongsian Modal Insan (HCPA) untuk memperdalam kerjasama pendidikan dan hubungan antara sektor pendidikan dan pelajar kedua-dua negara.

“HCPA juga akan memperluaskan peluang untuk pelajar Singapura dan Indonesia menyertai pertukaran dan latihan amali di luar negara, bagi memperdalam pemahaman mereka tentang negara masing-masing dan mempersiapkan pelibatan mereka dalam rantau ini dengan lebih baik, tambah MOE.

ISU SERANTAU

Mengenai isu serantau, Encik Lee berkata beliau berbincang dengan Encik Widodo mengenai isu Myanmar, di mana keadaan "terus kekal serius".

Kedua-dua pemimpin berkata tiada kemajuan ketara dicapai dalam melaksanakan konsensus lima perkara Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) sejak ia dipersetujui pada April tahun lalu. Sehubungan itu kedua-dua pemimpin menggesa agar bantuan kemanusiaan dapat dikerahkan dengan lebih baik.

“Kami komited untuk membantu Myanmar mencapai ketetapan yang tahan lama dan aman demi kepentingan rakyatnya,” kata Encik Lee. “Tetapi penting bagi pengerusi ASEAN dan utusan khasnya untuk melibatkan semua pihak yang terlibat.”

Encik Lee berkata Singapura akan terus bekerjasama dengan pengerusi ASEAN sekarang iaitu Kemboja, pengerusi seterusnya Indonesia, dan negara anggota ASEAN lain mengenai pelaksanaan penuh konsensus lima perkara dan keputusan ASEAN lain yang berkaitan.

Encik Lee berkata Retreat pada Selasa menunjukkan hubungan dua hala antara Singapura dengan Indonesia berada dalam "keadaan yang baik".

“Kedua-dua negara kita mampu bekerjasama dalam keadaan yang mencabar, dan menghuraikan isu-isu yang telah lama berlarutan secara terbuka dan membina,” kata beliau.

"Saya yakin kami akan membina lagi asas yang kukuh ini dan membangunkan bidang kerjasama baru untuk memberi manfaat kepada generasi akan datang."

Sumber : CNA/SU/fa

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa