Sindiket curi lori, jual komponen ditahan polis M'sia
Seorang lelaki warga Mesir merupakan antara lima anggota sindiket 'Botak Siva' yang ditahan polis Selangor sejak bulan lalu kerana disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri lori, melerai dan mengeksport komponen kenderaan itu ke luar negara, melibatkan nilai rampasan kira-kira RM2 juta (S$0.7 juta).

Polis menyiasat komponen lori yang dicuri. (Gambar: Polis Selangor/Facebook)
PELABUHAN KLANG: Seorang lelaki warga Mesir merupakan antara lima anggota sindiket 'Botak Siva' yang ditahan polis Selangor sejak bulan lalu kerana disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri lori, melerai dan mengeksport komponen kenderaan itu ke luar negara, melibatkan nilai rampasan kira-kira RM2 juta (S$0.7 juta).
Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor berkata bahawa lelaki Mesir yang berusia dalam lingkungan 30-an tahun itu ditahan di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada 24 Jan lalu selepas disyaki bertindak sebagai orang tengah dalam urusan jual beli alat ganti dan komponen lori daripada sindiket berkenaan.
Selain suspek tersebut, polis turut menahan empat lagi suspek lelaki termasuk dalang sindiket yang berusia antara 33 hingga 44 tahun di sekitar Klang dan Port Dickson, Negeri Sembilan, antara 23 Januari dengan 13 Februari lalu.
"Dalang sindiket ini ditahan ketika serbuan pihak Polis Daerah Klang Selatan di sebuah gudang tidak bernombor di Taman Johan Setia, Klang pada 23 Jan lalu, bersama seorang lelaki Bangladesh yang ketika itu sedang meleraikan komponen lori dipercayai dicuri.
"Hasil siasatan lanjut membawa kepada penemuan sebuah kontena mengandungi ratusan komponen lori yang telah dileraikan di pelabuhan Singapura dengan bantuan pasukan polis Singapura dan Interpol. Kontena tersebut kemudian dibawa balik ke Pelabuhan Klang untuk pemeriksaan," katanya dalam sidang media hari ini (21 Feb).
Mengulas lanjut, Datuk Mazlan berkata bahawa antara komponen yang ditemui dalam kontena itu adalah 13 buah enjin lori, enam buah tabung ekzos lori, 49 batang ‘absorber’ hadapan lori, 22 pintu lori, 27 batang ‘driveshaft’ lori dan 14 stereng lori, kesemuanya bernilai kira-kira RM2 juta.
Menurut beliau, hasil soal siasat, sindiket terbabit dipercayai bergerak aktif sejak 2015 dan cara perlaksanaannya adalah dengan mencuri lori menggunakan 'jammer'.
"Setiap lori mempunyai 'remote' dan bila sindiket ini gunakan 'jammer' alat ini boleh mengganggu frekuensi remote dan memudahkan pintu lori dibuka dengan mudah. Lori yang dicuri kemudian dibawa ke gudang sebelum dileraikan dan antara jenis lori yang dikenal pasti adalah jenis Isuzu, Scania dan Hino.
"Kita percaya semua lori ini dirosakkan nombor chasis serta enjin dan semua komponen lori akan dimasukkan ke dalam kontena untuk dieksport ke destinasi lain seperti Pakistan dan negara Timur Tengah seperti Mesir. Laluan yang digunakan adalah melalui Pelabuhan Klang terus ke Pelabuhan Singapura sebelum penghantaran ke Port Said, Timur Tengah," katanya.
Datuk Mazlan menambah bahawa siasatan lanjut mendapati suspek mengaku mengeksport sebanyak empat kali pada 2017 iaitu dua kali ke Pakistan dan dua kali ke Mesir, dengan anggaran nilai eksport berjumlah RM12 juta (S$4 juta).
Katanya lagi, kesemua suspek kini direman untuk siasatan dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan juga didenda.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.