Simposium Haji Perdana ke-49 himpun pemikir Islam, bincang isu semasa Haji
Simposium Haji Perdana ke-49 yang dianjurkan oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi pada Isnin (2 Jun) antara lain membincangkan isu fikah, kebajikan serta keperluan semasa jemaah secara mendalam dan berasaskan ilmu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Malaysia, Dr Mohd Na’im Mokhtar (lima dari kanan) menghadiri Simposium Haji Perdana ke-49. (Gambar: Bernama)
Bertemakan "Keupayaan Menunaikan Haji dan Perkembangan Semasa", simposium tersebut yang berlangsung di sebuah hotel di Jeddah dihadiri lebih 500 menteri agama, tokoh dan sarjana Islam serta pemikir dari 57 negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Malaysia, Dr Mohd Na'im Mokhtar, Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji (TH) Mustakim Mohamad dan Ketua Rombongan Haji Malaysia 1446H/2024M Mohd Hisham Harun turut hadir di simposium tersebut.
Encik Mohd Na'im berkata simposium itu, yang berlangsung sejak 1970, kini menjadi medan penting bagi pemimpin agama seluruh dunia memperkukuh peranan dakwah dan pendidikan dalam konteks ibadah haji yang lebih bersepadu serta bersifat inklusif.
"Simposium yang dirasmikan pagi ini disertai oleh beberapa tokoh penting termasuk Menteri Haji, Ketua Keselamatan, Menteri Kesihatan dan Menteri Pengangkutan dari Arab Saudi.
"Program ini bertujuan untuk memaklumkan kepada para Menteri Haji yang terlibat mengenai usaha-usaha yang dijalankan oleh kementerian berkaitan serta peranan dan tanggungjawab mereka dalam memastikan kelancaran ibadah haji," katanya kepada petugas media Malaysia selepas menghadiri Mesyuarat Bersama Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi.
Tambah Encik Mohd Na'im, simposium itu turut berperanan sebagai jambatan kerjasama antara pihak berkuasa agama dan institusi Islam di peringkat global sekali gus memperkukuh jaringan hubungan strategik dalam pengurusan ibadah haji.
"Pertemuan ini turut menjadi platform untuk menyemai nilai-nilai sejagat yang terkandung dalam ibadah haji seperti toleransi, keamanan dan perpaduan dalam kalangan masyarakat Islam," kata beliau.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.