Skip to main content

Dunia

Simposium Haji Perdana ke-49 bincang ibadah Haji dalam konteks cabaran global semasa

Simposium Haji Perdana ke-49 diadakan di Jeddah pada Ahad (31 Mei) menghimpunkan para ulama, cendekiawan dan pegawai dari seluruh dunia Islam bagi membincangkan kepentingan Haji yang terus berkembang dalam konteks cabaran global semasa.

Anggaran Waktu Membaca:
Simposium Haji Perdana ke-49 bincang ibadah Haji dalam konteks cabaran global semasa

Tahap kesiapsiagaan bagi musim Haji tahun ini, setakat Sabtu lalu, melebihi 97 peratus berbanding 81 peratus pada 2024. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 02 Jun 2025 10:58PM Dikemas Kini : 02 Jun 2025 10:59PM
JEDDAH: Simposium Haji Perdana ke-49 diadakan di Jeddah pada Ahad (31 Mei) menghimpunkan para ulama, cendekiawan dan pegawai dari seluruh dunia Islam bagi membincangkan kepentingan Haji yang terus berkembang dalam konteks cabaran global semasa.

Dianjurkan oleh Kementerian Haji dan Umrah dengan kerjasama Majlis Ulama Tertinggi dan Yayasan Penyelidikan dan Arkib Raja Abdulaziz, simposium kali ini membawa tema "Keupayaan Menunaikan Haji dan Perkembangan Semasa".

Simposium tersebut menekankan bahawa ibadah Haji kekal sebagai amalan yang penuh kerohanian, kebudayaan dan kemanusiaan, yang disesuaikan dengan cabaran logistik dan sosial semasa.

Ia juga bertujuan menyelaraskan asas ajaran Islam dengan realiti Haji moden yang praktikal, termasuk perkembangan teknologi, kesihatan dan logistik yang mempengaruhi setiap langkah perjalanan ibadah tersebut.

Simposium Haji Perdana telah memainkan peranan sebagai platform pertukaran ilmiah selama lebih empat dekad, menggalakkan dialog berterusan berkenaan ibadah Haji dalam kalangan akademik dan pemimpin agama.

Menteri Haji dan Umrah, Dr. Tawfiq Al-Rabiah berkata: “Persiapan Haji tahun ini adalah hasil usaha bersepadu yang selari dengan matlamat Wawasan 2030 Arab Saudi dan Program Khidmat Tetamu Allah.”

Beliau turut berkata bahawa usaha pihak berkuasa Arab Saudi berjaya meningkatkan tahap kepuasan jemaah dengan ketara, daripada 74 peratus pada 2022 kepada 81 peratus pada 2024.

Tahap kesiapsiagaan bagi musim Haji tahun ini, setakat Sabtu lalu, melebihi 97 peratus berbanding 81 peratus pada tahun lalu.

Beliau menambah: “Kami memberi tumpuan kepada penambahbaikan pengalaman Haji secara digital dan memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan bagi memudahkan perjalanan jemaah, menjamin keselamatan mereka, dan meningkatkan keselesaan.”

Inisiatif utama termasuk penaiktarafan infrastruktur oleh Suruhanjaya Diraja bagi Bandar Makkah dan Tapak-Tapak Suci, melibatkan 170,000 meter persegi kawasan berbumbung, 20,000 pokok yang baru ditanam, serta pembinaan laluan pejalan kaki getah di kawasan suci.

Kemudahan kesihatan turut dipertingkat dengan penambahan sebuah hospital kecemasan baharu, 15 unit ambulans, 71 stesen tindak balas pantas dan 64 kompleks kesihatan dua tingkat.
Sumber : Agensi berita/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita