Simpanan air Pulau Pinang turun 25%; penduduk diminta kurangkan penggunaan
Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) meminta para penduduk Pulau Pinang supaya menggunakan air secara berhemat berikutan keadaan cuaca kering sejak awal Januari lalu.
Amaran peringkat awal akan dikeluarkan sekiranya keupayaan maksimum di empangan-empangan berkenaan merosot ke tahap 50%. (Gambar: Bernama)
GEORGE TOWN: Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) meminta para penduduk Pulau Pinang supaya menggunakan air secara berhemat berikutan keadaan cuaca kering sejak awal Januari lalu.
Keupayaan maksimum Empangan Air Itam merosot hampir 25 peratus dalam tempoh 48 hari apabila hanya 67.3 peratus dicatatkan pada Isnin lalu (18 Feb) berbanding 92.2 peratus dicatatkan pada 1 Januari.
“Taburan hujan yang rendah adalah sebab utama penurunan dramatik dalam keupayaan empangan ini. Empangan ini mencatatkan hanya 94mm hujan (antara 1 Jan lalu dan semalam),” kata Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Jaseni Maidinsa, dalam satu kenyataan pada Selasa (19 Feb).
Sementara itu, Empangan Teluk Bahang pula hanya mencatatkan peningkatan 0.3 peratus apabila keupayaan maksimumnya berada pada paras 79.1 peratus pada Isnin (18 Feb), berbanding 78.8 peratus pada hari pertama tahun ini.
Encik Jaseni juga berkata purata pengambilan air harian daripada keupayaan maksimum Empangan Air Itam meningkat antara 0.40 peratus dengan 0.64 peratus dalam tempoh 1 Januari hingga 18 Februari tahun ini, berbanding hanya 0.15 peratus untuk tempoh yang sama tahun lalu.
“Tahap penggunaan air yang tinggi ini agak gawat, terutama apabila simpanan air mentah di Empangan Air Itam mengalami penurunan yang ketara. PBAPP memohon kerjasama dan timbang rasa dari semua pengguna… sila kurangkan penggunaan air harian anda dengan segera,” katanya.
Sementara itu, agensi berita Bernama dimaklumkan simpanan air mentah di Empangan Air Itam boleh bertahan sehingga 66 hari sementara Empangan Teluk Bahang pula selama 239 hari.
Amaran peringkat awal akan dikeluarkan sekiranya keupayaan maksimum di empangan-empangan berkenaan merosot ke tahap 50 peratus.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.