Skip to main content

Dunia

Sila pindah negeri lain jika tidak puas hati Johor cuti Sabtu, Ahad: TMJ

Anggaran Waktu Membaca:
Sila pindah negeri lain jika tidak puas hati Johor cuti Sabtu, Ahad: TMJ

(Gambar: Facebook/HRH Crown Prince of Johor)

JOHOR: Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata mana-mana pihak yang tidak bersetuju cuti hujung minggu di Johor ditukar kepada Sabtu dan Ahad supaya berpindah ke negeri lain.

"Dengan izin dan restu KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, pandangan oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor, kerajaan negeri, agensi-agensi kerajaan dan rakyat, maka saya telah membuat keputusan untuk Johor bercuti semula pada Sabtu dan Ahad.

"Jika ada pihak yang kurang senang atau tidak berpuas hati demi agenda peribadi, nak melaga-lagakan rakyat atau kepentingan politik, anda dipersilakan pindah ke negeri-negeri yang masih bercuti Jumaat dan Sabtu," kata beliau dalam kenyataan pada Khamis malam (10 Okt), seperti ditukil Malaysiakini.

Menurut Tunku Ismail, keputusan itu diambil dengan mempertimbangkan kehendak rakyat Johor untuk meluangkan lebih masa bersama keluarga dan anak-anak dan kesan ekonomi yang positif adalah seiring dengan pelaksanaan projek pembangunan yang memberi manfaat di negeri Johor.

Pada 7 Oktober lalu, Tunku Ismail mengumumkan cuti hujung minggu di negeri Johor ditukar daripada Jumaat dan Sabtu kepada Sabtu dan Ahad bermula 1 Jan 2025.

Tunku Ismail memaklumkan cadangan berkenaan telah mendapat perkenan dan restu Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Beliau juga mengarahkan Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi dan Mufti Johor mengadakan perbincangan berkaitan keputusan terbaharu itu.

Johor sebelum ini telah beberapa kali mengubah cuti hujung minggunya.

Negeri itu melaksanakan cuti hujung minggu pada Sabtu dan Ahad kali pertama pada tahun 1994 ketika Muhyiddin Yassin menjadi menteri besar.

Menyusuli keputusan terbaharu itu, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim mengkritik pengumuman berkenaan, lapor Malaysiakini.

Menerusi satu catatan di Facebook, pemimpin lantang dari PKR itu berkata, Jumaat adalah hari mulia dalam budaya Islam dan mempunyai pengertian yang besar bagi penganut agama itu di seluruh dunia.

PAS Johor yang bersetuju dengan Encik Hassan beranggapan cuti hujung minggu di negeri Johor yang ditukar kepada hari Sabtu dan Ahad bermula 1 Januari 2025 seperti yang diumumkan oleh Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail adalah peninggalan penjajah.

“Sebelum Merdeka, negeri-negeri di Tanah Melayu diasingkan kepada tiga kelompok oleh penjajah British iaitu Negeri Bersekutu, Negeri Tidak Bersekutu dan Negeri Selat.

“Salah satu peninggalan penjajah ialah perbezaan cuti hujung minggu di negeri-negeri tersebut.

“Negeri-negeri Selat dan Bersekutu telah menjadikan Ahad sebagai hujung minggu mereka sementara Negeri-negeri Tidak Bersekutu menjadikan hari Jumaat sebagai cuti hujung minggu mereka,” katanya, seperti dipetik Malaysiakini.
Sumber : Agensi berita/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita