Skip to main content

Dunia

Sifat perkauman bertambah buruk di NZ selepas tragedi masjid Christchurch

Pakar-pakar menyatakan, sikap perkauman di New Zealand nampaknya bertambah teruk setahun selepas tragedi pembunuhan beramai-ramai di dua masjid Christchurch, di mana 51 orang Islam mati ditembak ketika menunaikan solat Jumaat.

Anggaran Waktu Membaca:
Sifat perkauman bertambah buruk di NZ selepas tragedi masjid Christchurch

(Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 11 Mar 2020 11:56PM Dikemas Kini : 11 Mar 2020 11:59PM

WELLINGTON: Pakar-pakar menyatakan, sikap perkauman di New Zealand nampaknya bertambah teruk setahun selepas tragedi pembunuhan beramai-ramai di dua masjid Christchurch, di mana 51 orang Islam mati ditembak ketika menunaikan solat Jumaat.

Menjelang ulang tahun pertama tragedi itu pada 15 Mac ini, satu mesej muncul di aplikasi pesanan Telegram menunjukkan seorang lelaki memakai penutup muka balaclava di luar sebuah masjid yang diserang, dengan ugutan dan emoji senjata api.

Mesej itu adalah yang terbaru dalam beberapa siri ancaman terhadap golongan minoriti di New Zealand. Menurut pakar-pakar, jenayah kebencian dan xenofobia kian meningkat menyusuli kes pembunuhan beramai-ramai di masjid oleh suspek radikal kulit putih pada 15 Mac tahun lalu.

Serangan menggunakan senapang separa automatik itu disasarkan kepada para jemaah yang menunaikan solat Jumaat di bandar terbesar di South Island, dan penyerangnya menyiarkan insiden tembakan terburuk di New Zealand itu secara langsung melalui Facebook.

Warga Australia, Brenton Tarrant, yang menghadapi 92 pertuduhan berhubung serangan di Masjid Al Noor dan Linwood, mengaku tidak bersalah dan akan dibicarakan Jun ini.

Rasa kasih sayang dan belas kasihan luar biasa ditunjukkan New Zealand, diterajui Perdana Menteri Jacinda Ardern, terhadap masyarakat Islam sejurus selepas serangan itu.

Cik Ardern dengan segera memperkenalkan undang-undang senjata yang baru dan memulakan gerakan global untuk membasmi rasa kebencian yang disebarkan online, sekali gus dipuji sebagai contoh kepada para pemimpin lain.

Bagaimanapun, para pemimpin, aktivis dan pakar Islam berkata serangan itu merangsang golongan nasionalis kanan dan kempen antipendatang asing untuk menjadi lebih agresif.

Menurut polis, seorang lelaki berusia 19 tahun didakwa kerana enggan membantu pihak polis dengan waran siastaan berkaitan insiden itu, akan dihadapkan ke mahkamah lewat bulan ini.

Laporan media tempatan mengaitkan lelaki itu dengan kumpulan nasionalis kulit putih dipanggil Action Zealandia, yang ditubuhkan pada Julai 2019, hanya beberapa bulan selepas serangan masjid di Christchurch.

Sumber : Reuters/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita