Skip to main content

Dunia

Sifat organik tanah gambut jadi cabaran operasi padam kebakaran Johor

Anggaran Waktu Membaca:
Sifat organik tanah gambut jadi cabaran operasi padam kebakaran Johor
(Gambar: Bernama)
Diterbitkan : 31 Jan 2026 07:14PM Dikemas Kini : 31 Jan 2026 08:10PM
JOHOR BAHRU:Beberapa siri kebakaran terbuka yang berlaku di Malaysia sejak kebelakangan ini menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat, khususnya apabila kejadian melibatkan kawasan luas yang berpotensi menjejaskan keselamatan serta kesihatan awam.

Berdasarkan perangkaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), sebanyak 3,565 kes kebakaran terbuka diterima agensi itu di seluruh negara bagi tempoh 1 Januari lepas hingga semalam, dengan enam kebakaran terbuka berskala besar direkodkan di Johor sepanjang bulan ini.

Kejadian terbesar dilaporkan berlaku di Jalan Sungai Kapal, Taman Bayu Damai, Pengerang, dekat Kota Tinggi membabitkan kebakaran tanah gambut seluas hampir 100 hektar yang berjaya dipadamkan sepenuhnya semalam. 

Mengulas perkara itu, Ketua Pusat Penyelidikan Tanah Lembut (RECESS) Institut Kejuruteraan Integrasi (I2E), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Prof Dr Adnan Zainorabidin berkata kebakaran tanah gambut sememangnya antara cabaran alam sekitar paling rumit berikutan sifat fizikal tanah organik itu sendiri yang berbeza secara ketara berbanding tanah mineral.

“Dari sudut operasi, kebakaran tanah gambut jauh lebih sukar dikawal berbanding kebakaran terbuka biasa kerana api tidak hanya merebak di permukaan. Sebaliknya, ia membakar lapisan bawah tanah, bergantung kepada kedalaman gambut di sesuatu kawasan.

“Lapisan gambut yang kaya dengan bahan organik mudah terbakar membolehkan bara api tersembunyi terus membara walaupun api di permukaan kelihatan dipadamkan, sekali gus meningkatkan risiko kebakaran berulang.

“Situasi ini diibaratkan seperti timbunan kayu atau sekam yang terbakar dari dalam, iaitu bara api masih wujud walaupun api luaran telah padam.

"Akibatnya, operasi pemadaman memerlukan strategi khas, penggunaan air dalam jumlah besar serta pemantauan berterusan dalam tempoh yang panjang,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata tempoh pemadaman yang lama turut dipengaruhi oleh kedalaman tanah gambut yang berbeza antara lokasi, dengan sesetengah kawasan mencatat kedalaman dua meter, manakala di kawasan tertentu boleh mencecah hingga 20 meter.

Prof Adnan berkata bara api di lapisan bawah boleh terus membakar tanah gambut yang kering selama beberapa minggu atau bulan, menjadikan kebakaran sukar dikesan pada peringkat awal dan lebih berbahaya.

Dari perspektif sains tanah, katanya tanah gambut mempunyai ciri unik dengan kandungan kelembapan semula jadi yang tinggi, melebihi 100 peratus dan kajian intensif oleh UTHM mendapati kandungan kelembapan tanah gambut di Malaysia berada dalam julat antara 100 hingga 800 peratus.

“Namun, apabila berlaku cuaca panas berpanjangan dan taburan hujan rendah, kandungan air akan berkurangan, menjadikan struktur tanah yang ringan dan berongga sangat mudah terbakar,” katanya.

Beliau berkata keadaan cuaca sedemikian bukan sahaja meningkatkan risiko pencetusan kebakaran, tetapi juga mempengaruhi kedalaman dan penyebaran api di dalam lapisan gambut, apabila haba diserap oleh bahan organik dan membolehkan bara api tersembunyi terus membara dalam jangka masa panjang.

Sementara itu, Profesor di Pusat Geokejuruteraan Tropika (GEOTROPIK), Kumpulan Penyelidikan Geoteknik (GRG), Fakulti Kejuruteraan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Dr Ahmad Safuan A Rashid berkata kebakaran di kawasan tanah gambut sukar dikawal kerana sifat “membara” yang berlaku di bawah tanah, menjadikan usaha pemadaman lebih rumit dan memerlukan strategi serta pemantauan berterusan.

Beliau berkata berbeza dengan kebakaran biasa, kebakaran tanah gambut merebak secara mendatar dan menegak dalam lapisan organik, dengan bara api boleh tersembunyi dan terus membara walaupun permukaan kelihatan terpadam.

“Keadaan cuaca panas dan taburan hujan rendah meningkatkan risiko kebakaran kerana tanah menjadi lebih kering, membolehkan api merebak ke lapisan bawah yang lebih tebal.

“Kebakaran tanah gambut merupakan penyumbang utama pelepasan karbon dan jerebu. Kebakaran bawah tanah ini bukan sahaja memberi kesan serius kepada ekosistem, kehilangan biodiversiti dan gangguan kepada sistem semula jadi, malah menyumbang kepada pelepasan gas rumah hijau serta masalah jerebu yang menjejaskan kesihatan penduduk,” katanya.

Bagi menangani risiko kebakaran berulang, beliau mencadangkan langkah jangka panjang seperti pemulihan hidrologi kawasan gambut, penyekatan saliran bagi mengekalkan kelembapan semula jadi, pemantauan berterusan terhadap bara api serta pendidikan komuniti mengenai kepentingan menjaga ekosistem gambut sebagai sinki karbon.
Sumber : Bernama/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita