Skip to main content

Dunia

Sidang Puncak Xi-Trump: China, Amerika setuju kurangkan tarif barangan bernilai AS$30 bilion

Anggaran Waktu Membaca:
Sidang Puncak Xi-Trump: China, Amerika setuju kurangkan tarif barangan bernilai AS$30 bilion

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump bertemu Presiden China Xi Jinping di Pejabat Oval, Rumah Putih, di Washington pada 24 September 2026. (Gambar: Reuters/Evan Vucci)

Diterbitkan : 27 Sep 2026 09:09AM

SHANGHAI: Amerika Syarikat dan China bersetuju mengurangkan tarif ke atas barangan bernilai AS$30 bilion (S$38.3 bilion) serta memulakan dialog mengenai kecerdasan buatan (AI), menurut kedua-dua negara menyusuli lawatan Presiden Xi Jinping ke Washington.

Pengurangan tarif itu akan melibatkan eksport Amerika Syarikat seperti hasil pertanian, kayu dan kosmetik, serta import Amerika Syarikat termasuk peralatan elektrik kecil, mainan dan barangan hiasan, menurut kenyataan Rumah Putih pada Jumaat (25 Sep).

“Kedua-dua negara mencapai persetujuan mengenai saranan bagi layanan tarif yang lebih menguntungkan untuk barangan tidak sensitif bernilai AS$30 bilion dari setiap negara,” menurut Rumah Putih.

Sidang puncak tiga hari antara Encik Xi dengan Presiden Donald Trump, yang berakhir pada Jumaat, lebih menonjolkan diplomasi peribadi berbanding kejayaan besar yang diumumkan kepada umum. Encik Xi sejak itu sudah tiba di Beijing, menurut agensi berita rasmi China Xinhua pada Sabtu.

Kedua-dua pihak turut bersetuju menubuhkan sebuah majlis perdagangan dan melanjutkan hasil rundingan sebelum ini di Kuala Lumpur, menurut Kementerian Luar China.

Persetujuan itu menyusuli langkah dua ekonomi terbesar dunia tersebut untuk melanjutkan gencatan perdagangan selama dua bulan. Gencatan itu sepatutnya tamat pada 10 November, namun pelanjutan tersebut memberi lebih banyak masa untuk mengusahakan perjanjian perdagangan yang mungkin lebih besar, kata Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat Scott Bessent pada Rabu.

“Lawatan bersejarah ini memperkukuh hubungan China-Amerika yang membina dan stabil, mengekalkan kestabilan keseluruhan hubungan dua hala, membuka lembaran baharu dalam hubungan China-Amerika dan akan memberi kesan meluas terhadap keamanan dan pembangunan dunia,” kata Menteri Luar China Wang Yi dalam satu kenyataan.

DIALOG MENGENAI AI

Mengenai kecerdasan buatan (AI), Encik Trump berkata pada Sabtu bahawa meskipun beliau mengadakan “perbincangan besar” dengan Encik Xi mengenai AI minggu ini, Amerika tidak seharusnya bekerjasama dengan China dalam teknologi tersebut.

“Kami mengadakan perbincangan besar mengenai SI (kecerdasan super),” kata Encik Trump kepada para wartawan di Rumah Putih.

“Apa yang mereka mahu lakukan adalah menghentikan kemajuan kita kerana kita jauh mendahului China dan kita akan memastikan keadaan itu kekal. Kami sebenarnya tidak menghabiskan banyak masa membincangkannya,” tambah beliau.

Encik Trump berkata beliau tidak mahu “mengintegrasikan” inisiatif AI dengan China disebabkan oleh kedudukan Amerika yang lebih maju dalam bidang tersebut.

Rumah Putih menyatakan kedua-dua pemimpin bersetuju menggunakan istilah 'kecerdasan super' bagi menggantikan “kecerdasan buatan”.

Dalam kenyataan berasingan, kementerian China menyatakan Beijing menghargai penggunaan istilah baharu itu oleh Washington.

Sedang teknologi AI terus berkembang, kedua-dua pihak perlu meningkatkan pertukaran pandangan dan berusaha mencapai persetujuan sejajar dengan perkembangan baharu, menurut kementerian itu.

Kedua-dua negara turut bersetuju untuk saling menyokong dalam penganjuran mesyuarat pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) dan Sidang Puncak G20, dengan kedua-dua pemimpin merancang menghadiri pertemuan yang dianjurkan oleh negara masing-masing.

Berhubung dasar luar, kedua-dua pemimpin bersetuju bahawa Iran perlu memenuhi komitmennya untuk tidak membangunkan senjata nuklear dan tiada negara atau entiti harus mengenakan bayaran transit ke atas laluan perairan antarabangsa, menurut kedua-dua negara itu.

Sumber : AGENCIES/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita